Sorting by

×

Hari Bertemu Rakyat: Peluang warga Pengkalan Batu salur aduan, dekati pemimpin

Masa Membaca:1 Minit, 52 Saat

PENGKALAN BATU 6 Mac – Hari Bertemu Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu Bersama Ketua Menteri Melaka diadakan bagi mewujudkan budaya mesra pelanggan kepada rakyat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu Datuk Kalsom Noordin berkata, meskipun Program Hari Bertemu Rakyat sudah menjadi program mingguan di DUN berkenaan, namun program pada Khamis ini adalah julung kali diadakan apabila Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali sendiri akan mendengar aduan, keluhan dan pemasalahan penduduk.

Beliau berkata, Program Hari Bertemu Rakyat merupakan platform untuk rakyat menyalur terus aduan kepada peringkat tertinggi seterusnya mencapai penyelesaian.

“Penganjuran ini adalah julung kali diadakan di DUN Pengkalan Batu apabila rakyat mempunyai peluang untuk berjumpa dan meluahkan sendiri pemasalahan atau memberi cadangan mereka kepada Ketua Menteri.

“Untuk hari itu nanti kita jangkakan seramai 200 penduduk setempat yang akan hadir dan bertemu dengan Ketua Menteri bersama pengarah agensi kerajaan bermula jam 9 pagi,” katanya ketika ditemui di Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun).

photo1678089482
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu Datuk Kalsom Noordin berucap pada sidang media sempena Hari Bertemu Rakyat Bersama Ketua Menteri Melaka, Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu di Kompleks Japerun Pengkalan Batu. Foto Iqmal Haqim Rosman

Beliau yang juga Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri berkata, pada hari itu juga nanti terdapat 16 jabatan dan agensi kerajaan antaranya Pejabat Daerah dan Tanah Melaka Tengah (PDTMT), Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Selain itu pengunjung juga boleh hadir ke kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk membuat semakan dan membayar saman begitu juga mereka yang memerlukan khidmat nasihat berkaitan kewangan juga ada disediakan.

“Ini menunjukkan Kerajaan Negeri sentiasa dalam membantu memudahkan urusan rakyat dengan menyediakan pelbagai perkhidmatan dan tawaran.

“Malah bersempena dengan sesi pembukaan sekolah nanti juga, pada hari tersebut kita menyediakan perkhidmatan gunting rambut percuma kepada kira-kira 100 kanak-kanak,” katanya.

Sehubungan itu, Kalsom berharap penduduk DUN Pengkalan Batu dapat menghadirkan diri ke program itu selain turut akan diadakan pelancaran ‘tagline’ dan logo DUN Pengkalan Batu.

“Buat pertama kalinya selepas lebih 20 tahun penubuhan DUN Pengkalan Batu, kita mempunyai logo sendiri dengan ‘tagline’ Pengkalan Batu Bersih, Indah, Harmoni,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2094
Kongsi :
Previous post Peniaga rayu luluskan segera Bazar Aidilfitri Klebang
Next post MiCoST, universiti Indonesia jalin MoU pertukaran pelajar
Ubah saiz-+=