Hari Bertemu Rakyat akan diperluas tahun depan – KM

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

LENDU 14 Disember – Kaedah perkhidmatan awam menerusi program Hari Bertemu Rakyat akan diperluaskan ke setiap Parlimen bagi memastikan segala permasalahan rakyat atau aduan dapat diselesaikan secara terus dan efisien.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, kaedah itu menjadi platform kepada Kerajaan Negeri untuk mendengar dan menyelami secara terus permasalahan dihadapi rakyat daripada peringkat akar umbi sekali gus membantu untuk menyelesaikannya dalam tempoh 14 hari sebagaimana ditetapkan.

Katanya, penganjuran program itu turut memberi peluang dan ruang kepada orang ramai untuk berkomunikasi secara bersemuka dengan barisan kepimpinan Kerajaan Negeri termasuk Exco serta ketua-ketua setiap jabatan dan agensi berkaitan.

“Berdasarkan maklum balas daripada penganjuran program sebelum ini, inisiatif ini mendapat respons positif, yang mana pelbagai isu dan aduan dikemukakan dapat diselesaikan dengan lebih cepat kerana diuruskan terus oleh barisan kepimpinan Kerajaan Negeri.

“Selepas ini program Hari Bertemu Rakyat akan bergerak ke setiap Parlimen dan Masjid Tanah merupakan Parlimen pertama di luar bandar Melaka.

“Program ini akan berada di Jasin, Alor Gajah dan seterusnya Tangga Batu jadi ia dilaksanakan secara bergilir-gilir,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Hari Bertemu Rakyat Kerajaan Negeri Melaka Parlimen Masjid Tanah 2023 di Kompleks Sukan Masjid Tanah, di sini.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin.

Turut sama, Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Mengulas lanjut, beliau berkata selain menguruskan permasalahan rakyat menerusi kaedah bersemuka, Kerajaan Negeri turut mendigitalkan sistem penyampaian perkhidmatan awam menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA).

“Keberkesanan kaedah SISPAA melebihi 60 peratus daripada ssitem konvensional yang mana rakyat terpaksa beratur demi mengemukakan aduan, sebaliknya menerusi dalam talian semua aduan itu dapat diselesaikan kadar segera, memendekkan masa dan mempertingkatkan produktiviti.

“Setakat 1 Disember, SiSPAA Kerajaan Negeri menerima 12,650 aduan yang mana 12,171 aduan atau 96.2 peratus berjaya diselesaikan, hanya 479 aduan atau 3.8 peratus yang masih dalam tindakan jabatan atau agensi berkaitan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

714
Kongsi :
Previous post Larian Budaya Duyong Kita pamer keunikan
Next post Paramedik Komuniti ditempatkan di ‘hotspot’ pelancongan
Ubah saiz-+=