Hari Bertemu Pelanggan mudah, jimatkan masa – pengunjung

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

JASIN 11 Ogos – Hari Bertemu Pelanggan dianggap sebagai platform terbaik buat rakyat Melaka mendapatkan maklumat, mengetahui saluran dan agensi yang betul dalam mencari penyelesaian permasalahan dihadapi mereka.

Berikutan itu ramai yang memanfaatkan penanjuran Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Melaka dan Sambutan Minggu Kesedaran Derma Organ Peringkat Negeri Melaka berlangsung di Dewan Alamanda Jasin, di sini, hari ini.

Bagi pengunjung Siti Nabila Ramlen, 26, inisiatif kerajaan negeri itu bukan setakat memudahkan rakyat malah menjimatkan masa dan kos pengangkutan berbanding pergi ke pejabat agensi atau jabatan berkenaan bagi membuat aduan.

“Program ini sangat bagus kerana orang ramai mendapat hebahan mengenai peranan setiap agensi dengan tepat, jadi tidak timbul isu aduan dibuat kepada pihak yang salah, selain berurusan dengan pegawai yang betul.

“Jika ke pejabat kerajaan atau agensi kena tunggu giliran, ada masanya terpaksa tunggu lama tetapi menerusi program seperti ini pengadu boleh duduk bersemuka dengan pegawai berkenaan di gerai disediakan.

“Kaedah ini lebih selesa, layanan juga mesra, jadi kita rasa aduan yang dimaklumkan sudah ada tindakan segera diambil,” katanya ketika ditemui.

HAFIZAH

Sementara itu Hafizah Mohd Noh 38, menggunakan kesempatan menghadiri program itu untuk melakukan semakan status permohonan menunaikan ibadah haji di gerai Tabung Haji (TH).

Hafizah berkata, selain itu dia juga belajar perkara baharu apabila diberi penerangan mengenai cara menggunakan aplikasi khas yang membantunya melakukan semakan permohonan ibadah haji dengan lebih mudah meskipun berada di rumah.

“Sebelum ini pergi pejabat mereka (TH) kena tunggu lama, tetapi hari ini tidak sampai 10 minit sudah selesai semua urusan, tindakan dan khidmat nasihat disediakan sangat pantas, sangat teratur,” katanya.

SITI Nabila

Manakala, Nor Zurairah Hasan 35, mengambil peluang mengunjungi program itu bagi menjalani saringan kesihatan di gerai Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka.

“Sebagai penjawat awam, program seperti ini memberi peluang kepada saya untuk mengetahui perkhidmatan disediakan jabatan atau agensi lain,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5066
Kongsi :
Previous post Rumah berbumbungkan langit
Next post Tular gaduh di Bangunan Merah video lama – Polis
Ubah saiz-+=