Hargai jasa pegawai perubatan, pakar bius
AYER KEROH 29 Oktober – Sambutan Hari Anestesia Sedunia Peringkat Negeri Melaka 2022 bertujuan menghargai semua pegawai perubatan dan pakar bius yang terlibat secara langsung dengan perawatan bius.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKNM), Datuk Dr Rusdi Abd Rahman berkata sambutan itu yang sepatutnya dirai pada setiap tanggal 16 Oktober juga bertujuan untuk memberi kesedaran orang ramai tentang rawatan rapi.
“Sambutan Hari Anestesia Sedunia Peringkat Negeri Melaka tahun ini bertemakan ‘beyond the screen’ di mana setiap pegawai perubatan dan pakar bius ini terlibat secara langsung dalam setiap pembedahan menggunakan perawatan bius.
“Mereka ini ‘orang kuat’ dalam setiap dewan bedah, jasa semua pakar, pegawai perubatan dan kakitangan di Jabatan Anestesia amatlah dihargai dan diharap dapat terus mendepani cabaran-cabaran mendatang.
“Jabatan Anestesia Negeri Melaka telah mendepani cabaran hebat pada waktu pandemik COVID-19 di mana mereka adalah barisan hadapan yang membantu menangani krisis,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Anestesia Sedunia Peringkat Negeri Melaka di sebuah pasaraya di sini hari ini.
Pada sambutan tersebut, turut diadakan pameran-pameran mengenai bius, alatan yang digunakan dalam bilik bedah, dan orang ramai turut diajar teknik betul melakukan demonstrasi bantuan asas hayat serta bantuan awal kecemasan segera.
Mengulas lanjut, Dr Rusdi berkata beliau turut menyeru semua pegawai perubatan dan pakar bius untuk terus mempertingkatkan mutu perkhidmatan.
“Saya menyeru semua pegawai perubatan dan pakar bius untuk terus tingkatkan mutu perkhidmatan yang lebih efektif dan holistik kepada pesakit,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.