Sorting by

×

Hargai erti kemerdekaan, edar 1,000 Jalur Gemilang – JaPen

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

AYER KEROH 26 Julai – Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Negeri Melaka akan mengedarkan 1,000 Jalur Gemilang menerusi penganjuran Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) Peringkat Negeri Melaka 2023, Isnin ini.

Pengarahnya, Shahrom Ravin Daram Abdullah berkata, kembara itu bertujuan untuk mengajak orang ramai bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang bagi menyemarakkan lagi semangat patriotik sempena Hari Kebangsaan ke-66, pada 31 Ogos ini.

Katanya, konvoi sejauh 123 kilometer membabitkan 44 kenderaan dan 66 peserta mewakili pelbagai jabatan serta agensi akan berhenti di beberapa lokasi di semua tiga daerah di Negeri Melaka.

“Ada tiga ‘check point’ iaitu yang pertama di Dataran Rehat dan Rawat (RnR) Sungai Rambai Arah Selatan, Jasin bagi majlis ‘flagg off’, seterusnya Pantai Puteri, Melaka Tengah dan ketiga di Dataran Keris, Alor Gajah.

“Setiap lokasi kita atur aktiviti yang turut membabitkan penyertaan orang ramai seperti mengagihkan Jalur Gemilang selain mengibarkannya di premis-premis.

“Kembara ini bertujuan menggalakkan orang ramai mengibarkan Jalur Gemilang. Paling kurang kibarkan satu Jalur Gemilang di rumah,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini, hari ini.

Katanya, pergerakan konvoi akan dimeriahkan dengan lagu patriotik bagi memberi kesedaran kepada orang ramai tentang pentingnya menghargai dan menyemarakkan semangat kemerdekaan.

“Sebagai rakyat Malaysia kita perlu kekalkan kemerdekaan ini, tunjukkan bahawa kita bangga dan cintakan negara dengan mengibarkan Jalur Gemilang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

965
Kongsi :
Previous post TMM2024: Panorama Melaka perkenal pakej pelancongan naik bas
Next post ERT PPSPM cekap dan profesional
Ubah saiz-+=