Sorting by

×

HARGA TIKET ZOO MELAKA DITURUNKAN

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

AYER KEROH 17 April – Zoo Melaka menurunkan harga tiket ke taman haiwan itu sepanjang tahun ini.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datin Sapiah Haron memaklumkan, tawaran istimewa itu diberikan bersempena Melaka dipilih sebagai tuan rumah Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025.

Jelas beliau, pengunjung kini hanya perlu membayar RM39.10 untuk dewasa dan RM19 untuk kanak-kanak dan warga emas berbanding harga sebelum ini iaitu RM45 (dewasa) dan RM36.70 (kanak-kanak).

“Penurunan harga tiket ini kita beri bagi menarik kehadiran lebih ramai pengunjung dan pelancong datang dan menjadi Zoo Melaka destinasi percutian mereka.

“Tawaran harga baharu ini bermula sejak Januari lalu dan berterusan sehingga 31 Disember depan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri MPHTJ dan Majlis Perasmian Taman Tema Snow World di Melaka Mall, di sini, hari ini.

Terdahulu, majlis itu disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Yang Dipertua MPHTJ Datin Sapiah Haron serta lain-lain kenamaan.

Menurut Sapiah, MPHTJ akan terus giat mempromosikan pelbagai produk pelancongan yang berada di bawah kawasan Hang Tuah Jaya, termasuk dua lagi produk baharu iaitu Taman Tema Salji di Melaka Mall dan Belon Udara Udara Panas di Dataran Sejarah Ayer Keroh.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4087
Kongsi :
Previous post MENARA TAMING SARI KEKAL DINAMIK SELEPAS 17 TAHUN
Next post 92 MURID, PELAJAR BERENTAP PADA KEJOHANAN GOLF MSSNM