Harga sayur naik, tapi tak melampau – peniaga
BACHANG 11 Mei – Meskipun mengeluh kerana untung menurun peniaga di Pasar Besar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Bachang, di sini, masih bertolak ansur dan mengambil kira kepentingan pengguna berikutan kenaikan harga sayur-sayuran bermula awal Ramadan lalu berlarutan hingga hari ini.
Peniaga sayur A Chandran, 46, ketika ditemui berkata, kekurangan bekalan membabitkan sayur hijau berdaun seperti bayam, sawi dan kangkung.
“Harga naik tapi sayur berkenaan masih ada permintaan daripada pengguna, mahu atau tidak kami tetap ambil daripada pembekal meskipun mahal.
“Tapi kenaikan tidaklah mendadak, antara RM0.50 hingga RM2, contoh kangkung sebelum ini RM2.50 satu kilogram (kg) kini dijual antara RM4 hingga RM4.50 satu kg,” katanya.
Sementara itu seorang lagi peniaga Roslan Hassan, 55, berpendapat meskipun berlaku kenaikan harga jualan tidak melampau dan terkawal.
“Macam biasa apabila bekalan kurang harga naik, tapi bagi saya semua ini akan kembali normal selepas pembekal mendapat stok dalam jumlah mencukupi.
“Kami perniaga tidak boleh naikkan sesuka hati perlu juga fikirkan pengguna dan tidak boleh bebankan mereka. Kalau harga melampau pembeli tiada peniaga juga rugi,” katanya.
Menurutnya, bagi mengelakkan kerugian dan pengguna terbeban dia menghentikan sementara jualan sayur berkenaan yang ditawarkan pembekal pada harga tinggi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.