Harga sawit tinggi punca pekerja tinggalkan sektor pembinaan – Fadillah
SIBU, 10 Jun – Peningkatan harga minyak sawit di dalam sektor perladangan telah menarik pekerja dari sektor lain, kata Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.
Katanya fenomena tersebut juga telah memberi kesan kepada sektor pembinaan apabila pekerja mereka berpindah ke sektor perladangan.
Menurutnya kesan kekurangan pekerja pembinaan itu dapat dilihat apabila terdapat beberapa projek pembinaan yang telah lewat disiapkan termasuk projek Lebuhraya Pan Borneo.
“(Harga sawit kini begitu baik) sebab itu mereka (pemain industri sawit) sanggup membayar berapa saja bayaran untuk mengambil pekerja dan salah satu mangsanya adalah sektor pembinaan.
“Sektor pembinaan pula (membuat bayaran kepada pekerja berdasarkan) dari nilai pasaran dan juga kepada kemahiran yang dimiliki pekerja,” katanya kepada pemberita yang menyertai program Jelajah FTRoadpedia Sarawak di Jejambat Selangau di sini, hari ini.
Jelajah FTRoadpedia Sarawak anjuran Kementerian Kerja Raya yang bermula semalam hingga 11 Jun itu bertujuan meninjau perkembangan semasa pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak dengan melintasi daerah Kuching, Bintulu, Sibu dan Miri.
Mengulas lanjut, Fadillah berkata ‘tarikan’ pekerja dari satu sektor ke sektor lain merupakan persaingan dalam pasaran yang bukan sahaja berlaku di Sarawak tetapi seluruh negara.
“Oleh sebab itu, terdapat syarikat yang tubuhkan ‘headhunter’ yang bertujuan untuk mencari pekerja.
“Pihak industri sendiri perlu fikir bagaimana mereka boleh menjaga pekerja mereka dengan memberi tawaran termasuk manfaat yang boleh mengekalkan pekerja,” katanya.
Semalam, Fadillah dialporkan berkata apabila pandemik COVID-19 melanda, ramai pekerja yang terlibat dengan projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak juga telah pulang ke negara asal mereka, menyebabkan kontraktor projek itu kini hanya mampu bekerja dengan kapasiti 70 peratus tenaga kerja berbanding sebelum pandemik.- BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.