HARGA RUMAH DI MELAKA KEKAL MURAH
BANDARAYA MELAKA 5 Oktober – Melaka terus mengekalkan status sebagai negeri yang menawarkan harga rumah terendah di Malaysia dengan purata harga RM233,255 berbanding RM471,918 di peringkat nasional pada separuh pertama 2024.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, laporan itu diperoleh daripada Laporan Data Awalan Indeks Harga Rumah Malaysia (IHRM).
Malah, katanya, transaksi hartanah di Melaka turut merekodkan perkembangan positif dengan peningkatan 28.4 peratus jumlah bilangan dan 23.8 peratus nilai transaksi berbanding separuh pertama tahun 2023.
“Berdasarkan transaksi hartanah di Malaysia dan Melaka bagi tempoh separuh pertama 2024, masing-masing mencatatkan sebanyak 198,906 transaksi bernilai RM105.65 bilion dan 9,469 transaksi bernilai RM3.06 bilion.
“Peratusan pemilikan rumah di negeri Melaka ini merekodkan sebanyak 84.5 peratus selain indeks harga rumah purata yang dicatatkan bernilai RM228,122.
“Malah situasi kediaman siap dibina dan tidak terjual turut bertambah baik dengan penurunan kepada 3.4 peratus bagi Melaka bersamaan 514 unit dan pengurangan sebanyak 12.3 peratus bersamaan 22,642 unit bagi peringkat nasional untuk tempoh separuh pertama tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Ekspo Perumahan Dan Hartanah Negeri Melaka (MAPEX) 2024 Edisi Kedua, di Mahkota Parade, semalam.
Hadir sama, Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan Melaka (LPM) Datuk Tpr. Murad Husin; Pengerusi Penganjur MAPEX, Datuk Sonny Tay Chor Han dan Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA) Melaka, Datuk Ngoh Chun How.
Menurut Rais, indikator-indikator pertumbuhan pasaran hartanah menunjukkan sektor perumahan dan hartanah masih di landasan yang tepat seiring dengan pelaksanaan pelbagai dasar, inisiatif dan usaha kerajaan dalam menyantuni keperluan rakyat.
“Berdasarkan data perumahan negeri, stok kediaman semasa direkodkan adalah sebanyak 217,303 unit manakala kediaman dalam pembangunan pula sejumlah 25,897 unit dan sebanyak 24,467 unit dalam perancangan.
“Kerajaan negeri akan terus mengorak langkah proaktif untuk memastikan penyediaan perumahan negeri ini berada di tahap yang baik dan mampu dimiliki oleh semua lapisan masyarakat.
“Besar harapan agar kolaborasi antara Kerajaan Negeri dan REHDA Melaka dapat diperkukuh selain turut mengingatkan pemaju swasta untuk menjalankan perancangan projek yang tersusun serta mesra alam bagi memastikan agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat dibangun secara holistik,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.