Sorting by

×

Harga minyak masak di Melaka naik melambung?

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

PAYA RUMPUT 30 Mei – Harga minyak masak botol lima kilogram (kg) didakwa naik mendadak menjelang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh atau ‘total lockdown’ pada Selasa ini.

Hasil aduan orang ramai, Melaka Hari Ini (MHI) melakukan tinjauan ke beberapa pasar raya di negeri ini bagi melihat sendiri harga semasa minyak masak lima kg yang dijual.

Tinjauan mendapati, harga minyak masak itu kini mencecah sekitar RM29 hingga RM31 sebotol berbanding RM25 hingga RM28 pada awal tahun ini.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka, Norena Jaafar yang dihubungi, mengesahkan menerima beberapa aduan berkaitan kenaikan harga minyak masak itu.

Jelasnya, pihaknya telah menggerakkan penguat kuasa KPDNHEP ke beberapa pasar raya yang dikesan menjual pada harga yang tinggi dan telah mengeluarkan notis semakan harga kepada pasar raya berkenaan.

“Notis semakan harga ini diperlukan untuk kita melihat harga minyak masak yang mereka perolehi daripada pembekal dan pada masa sama kita juga akan melihat trend kenaikan harga di pasar raya berkenaan dalam tempoh beberapa bulan.

“Daripada semakan itu, jika kita dapati terdapat elemen pencatutan kita boleh kenakan tindakan di bawah Seksyen 14(1) Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Peniaga boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 bagi suatu perbadanan atau syarikat dan bagi bukan perbadanan atau individu pula boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun bagi kesalahan pertama, jika didapati bersalah.

“Jumlah itu akan meningkat lagi bagi kesalahan kedua dan seterusnya,” katanya.

Norena bagaimanapun menjelaskan harga minyak masak botol tidak diberikan subsidi oleh kerajaan seperti mana minyak masak paket satu kilogram.

Justeru, ujarnya, harga di pasaran akan sentiasa berubah-ubah bergantung kepada harga semasa minyak sawit mentah di pasaran dan harga yang ditetapkan pembekal.

“Apapun, pengguna masih boleh membuat aduan kepada KPDNHEP sekiranya mendapati harga yang dikenakan terlalu tinggi dan tidak masuk akal.

“Adakala peniaga hanya menaikkan harga sekitar RM0.50 hingga RM0.60 yang masih lagi munasabah, namun ada juga menaikkan RM3 hingga RM4 yang mungkin tidak masuk akal.

“Jadi, akan gerakkan penguat kuasa untuk membuat semakan harga jika perkara seperti ini berlaku,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1896
Kongsi :
Previous post Lelongan ‘total lockdown’ Che Ta habis dijual
Next post Total lockdown: Hanya 12 sektor perkilangan dibenar beroperasi, kapasiti pekerja 60 peratus
Ubah saiz-+=