Sorting by

×

Harga maksimum ayam RM9.30 boleh dikurangkan

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

KUALA LINGGI 5 Dis – Harga maksimum ayam RM9.30 sekilogram akan dikurangkan lagi selepas ayam sejuk beku import memasuki pasaran bulan ini.

Sehubungan itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengkaji semula harga maksimum berkenaan selepas ayam import memasuki pasaran.

Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad menjelaskan, harga ayam ditentukan oleh keadaan pasaran dan lazimnya, apabila penawaran ayam meningkat berikutan kemasukan ayam import, harga akan turun.

Beliau berkata, KPDNHEP memantau keadaan pasaran selepas Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) membenarkan ayam sejuk beku diimport sehingga 10,000 tan metrik atau 5.5 juta ekor sebulan, bagi tempoh bulan ini hingga Februari tahun hadapan.

“Harga maksimum itu bergantung pada harga ayam import dan kita lihat kesannya kepada penawaran, kalau ada penurunan harga, itu berita baik untuk pengguna.

“Apabila ayam import sudah masuk, penawaran akan menjadi berlebihan dan kita akan kaji semula harga maksimum ayam RM9.30,” katanya ketika ditemui selepas meninjau Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di pekan Kuala Sungai Baru, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah KPDNHEP Melaka, Norena Jaafar.

Semalam, Timbalan Menteri itu, Datuk Rosol Wahid dilaporkan berkata, harga maksimum ayam standard ditetapkan RM9.30 sekilogram bagi jualan runcit dan RM8 sekilogram untuk pemborong di Semenanjung, kecuali Langkawi, berkuat kuasa Selasa depan.

Ia ditetapkan mengikut Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) yang pertama kali diadakan, berkuat kuasa selama 25 hari hingga 31 Disember depan, bertujuan meringankan beban rakyat dalam menghadapi kenaikan harga barang keperluan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

657
Kongsi :
Previous post Dua ADUN positif COVID-19, sidang DUN Kelantan ditangguh – Speaker
Next post Penugasan polis Melaka selaras dengan matlamat kerajaan negeri
Ubah saiz-+=