Harga makanan ayam naik, punca harga ayam mahal
BACHANG 18 April. – “Mereka (pembekal) beritahu harga makanan ayam meningkat. Kami tiada pilihan, ayam yang datang pun harga antara RM8.60 hingga RM8.80 sekilogram dan terpaksa naikkan sedikit harga,” kata Hamzah Othman, 57, antara peniaga ayam segar di Pasar Besar Awam Melaka, di sini.
Dia mengakui terkesan dengan kenaikan harga ayam ditetapkan pembekal sejak awal Ramadan membuatkan keuntungan perniagaannya jatuh sekitar 20 hingga 25 peratus kebelakangan ini selain menerima rungutan pelanggan.
Katanya, pembekal memaklumkan kenaikan 40 peratus harga makanan ayam dihadapi penternak menyebabkan harga bekalan meningkat saban hari.
“Hari pertama puasa harga ayam segar masih terkawal iaitu RM7.80 sekilogram, tapi menjelang hari ketiga ia naik sedikit demi sedikit dalam lingkungan RM0.25 hingga RM0.30 sen setiap hari dan kini RM9.50 sen sekilogram.
“Dah 20 tahun berniaga perkara ini agak mengejutkan kami apabila harga ayam naik mendadak.
“Tahun-tahun sebelum ini harga ayam meningkat menjelang perayaan namun ia tidaklah meningkat mendadak,” katanya bimbang harga ayam terus meningkat menjelang Hari Raya jika tiada campur tangan kerajaan.
Tinjauan Melaka Hari Ini (MHI) mendapati kira-kira 10 gerai di pasar itu meletakkan harga ayam di bawah RM10 sekilogram manakala isi ayam (RM13.50), kepak ayam (RM13), hati dan pedal (RM5) dan rangka ayam (RM3.50).
Seorang pengguna, Norhayati Mazan, 24, begitu terkesan dengan kenaikan harga ayam segar di pasar itu.
“Selepas timbang memang agak terkejut apabila dua ekor ayam harganya RM42 sedangkan sebelum ini tiga ekor ayam tak sampai RM40 pun.
“Setiap minggu memang saya datang membeli ayam di sini, tapi hari ini harganya naik mendadak berbanding minggu lalu,”katanya.
Dalam pada itu tinjauan harga kebanyakan sayur-sayuran pula masih berada pada kadar munasabah.
Peniaga sayur, Roslan Hassan,54, berkata, beberapa sayuran seperti cili setakat ini mengalami penurunan berganda sejak beberapa minggu lalu sehinggakan harga RM20 sekilogram menurun sekitar RM8 kerana kurang permintaan.
“Kini dua jenis sayur menerima permintaan tinggi iaitu daun ketumbar dan daun bawang hingga harganya naik RM25 sekilogram,” katanya.
Sementara itu, peniaga ikan Izzudin Ramli,34, berkata, harga ikan, sotong dan udang tidak stabil di pasaran sejak perayaan Tahun Baru Cina lalu.
“Harga ikan termasuk sotong dan udang tidak menentu di pasaran, ada kala ia naik sehingga RM3 sekilogram dan kadangkala menurun pada harga sama.
“Keadaan ini menyebabkan adakala kami terpaksa menanggung hutang kepada pembekal.
“Contohnya hari ini ikan Cencaru dijual RM8.50 sekilogram dan Kembong Gred A sekitar RM9 sekilogram, ia tidak menentu dan akan turun naik,” katanya.
Katanya, apabila harga ikan tertentu tinggi menyebabkan peniaga terpaksa menghentikan jualan dan mengambil ikan jenis lain yang lebih murah untuk mendapatkan keuntungan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.