Sorting by

×

Harga ikan pasar nelayan kekal walaupun permintaan meningkat

Masa Membaca:2 Minit, 9 Saat

PANTAI KUNDOR 17 April. – Walaupun permintaan meningkat sejak 1 Ramadan lalu, harga ikan di Pasar Nelayan Pantai Puteri, di sini kekal.

Kebanyakan pengguna berbelanja lebih daripada biasa sejak Selasa lalu tetapi ia tidak mendorong peniaga ikan di pasar berkenaan menaikkan harga bagi mengaut keuntungan berganda.

Tinjauan di pasar berkenaan di Kampung Pantai Pengkalan Perigi, Pantai Jaring dan Pantai Rombang, iaitu sebahagian daripada Pantai Puteri yang sepanjang 10 kilometer (km) itu mendapati peniaga selesa untuk mengekalkan harga.

Peniaga, Ismail Tawil, 65, berkata beliau mengekalkan harga ikan merah RM38 sekilogram, selain parang (RM25), cencaru (RM12), duri otek (RM10) dan pelaling (RM10).

ISMAIL menyiang ikan dipesan pelanggan di Pasar Nelayan Pantai Puteri, Tanjung Kling.

“Saya beli ikan daripada nelayan dan pemborong ikan yang lain pada harga agak tinggi dan terpaksa jual agak tinggi juga untuk mendapat untung antara RM1 hingga RM2 bagi setiap kilogram (kg).

“Permintaan hari ini meningkat kerana cuti hujung minggu dan pelanggan membeli lebih daripada hari yang biasa untuk berbuka puasa dan bersahur,” katanya hari ini.

Shah Jehan Mohamed, 63, berkata beliau turut mengekalkan harga ikan seperti gelama (RM10), tenggiri (RM28 hingga M32), pelaling (RM10) dan beberapa jenis ikan yang lain.

SHAH Jehan kekal harga ikan segar yang dijualnya di Pasar Nelayan Pantai Puteri, Tanjung Kling walaupun permintaan meningkat pada Ramadan.

“Ikan segar di sini amat digemari pelanggan kerana rasanya yang lebih manis dan lemak berbanding ikan di pasar dan ia menyebabkan harga ikan di sini sememangnya agak tinggi sedikit berbanding yang di pasar.

“Sudah masuk hari kelima puasa hari ini tetapi saya dan peniaga lain tidak menaikkan harga selagi nelayan dan pemborong tidak menaikkan harga,” katanya.

Pengguna, Siti Rahmah Abdul Kadir, 54, berkata beliau berpuas hati dengan harga ditawarkan peniaga dan mendapatkan beberapa jenis ikan segar untuk hidangan anggota keluarga.

“Cencaru di sini harganya RM12 berbanding di pasar biasa antara RM8 hingga RM9 tetapi saya berpuas hati dengan kesegarannya yang jika dibandingkan dengan ikan pasar, ternyata yang di sini lebih sedap,” katanya.

PELANGGAN memilih udang di gerai Ismail Tawil di Pasar Nelayan Pantai Puteri, Tanjung Kling.

Zuraini Abu Kassim, 39, berkata beliau sanggup memandu kira-kira 25 km dari Peringgit, Bandaraya Melaka ke Pasar Nelayan Pantai Puteri semata-mata untuk mendapatkan ikan segar.

Katanya, ada ketika tertentu ikan di pasar itu naik terutama ketika nelayan tidak dapat ke laut akibat ribut, tetapi secara keseluruhannya, harga memuaskan pada ketika nelayan boleh menangkap ikan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3244
Kongsi :
Previous post Gol saat akhir, tuah skuad Penyu- Nafuzi
Next post Petugas kesihatan yang divaksinasi alami gejala kurang teruk apabila dijangkiti COVID-19
Ubah saiz-+=