Harga ikan meningkat akibat cuaca tidak menentu – MAFI

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

AYER LIMAU 5 Jan – Kenaikan harga ikan semasa adalah berpunca daripada faktor cuaca tidak menentu dan dijangka kembali stabil apabila musim tengkujuh berakhir tidak lama lagi.

Timbalan Menteri I Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, berikutan musim tengkujuh sejak Nov lalu, kebanyakan nelayan di Pantai Timur dan utara Semenanjung tidak mampu turun ke laut.

Katanya, kenaikan harga seumpama itu lazimnya bersifat sementara dan akan turun apabila musim angin Monsun Timur Laut berakhir pada penghujung Januari.

“Keadaan cuaca sekarang tidak menentu dan menyebabkan kebanyakan nelayan tidak dapat mencari rezeki tetapi kita yakin harga akan kembali stabil apabila monsun itu berakhir,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan kepada peladang dan penternak yang terjejas akibat banjir di Kampung Ramuan Cina Kecil, Lubok Cina dekat sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha MAFI, Datuk Haslina Abdul Hamid.

Beliau mengulas kenaikan harga ikan semasa yang menyaksikan ikan kembung bersaiz kecil atau pelaling dijual di kebanyakan kawasan di Semenanjung pada harga RM13 sekilogram.

Mengenai bencana banjir pada 18 Disember lalu, Ahmad berkata, kajian rambang MAFI mencatatkan kira-kira 5,500 peladang, penternak dan nelayan di seluruh negara yang dilabelkan sebagai Wira Agro mengalami kerugian kira-kira RM69 juta.

Beliau bagaimanapun berkata, jumlah berkenaan belum termasuk Wira Agro di Johor yang masih bergelut dengan bencana banjir.

“MAFI menyediakan RM100 juta melalui Dana Bangkit Semula Keluarga Agro, selain Tabung Bencana melalui Peruntukan Pembangunan Semula Projek Agromakanan (PPSPA) sebanyak RM80 juta serta Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) sebanyak RM12 juta.

“Kita tidak dapat ganti semua kerosakan akibat banjir tetapi kita bantu sedaya yang mampu supaya mereka mampu bangkit semula,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta peladang, penternak dan nelayan supaya tidak berputus asa dalam usaha membantu menghasilkan bahan makanan dalam negara.

Katanya, di Melaka sahaja, seramai 275 Wira Agro mengalami kerugian kira-kira RM2.83 juta akibat banjir.

Beliau memberi jaminan sebaik sahaja kajian menyeluruh selesai, mereka yang terjejas akan diberikan sumbangan bagi memastikan pengeluaran bahan makanan negara tidak terjejas.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1656
Kongsi :
Previous post Banjir: MAFI sedia RM100 juta bantu Wira Agro terjejas
Next post Banjir: Jumlah mangsa di pusat pemindahan semakin berkurangan
Ubah saiz-+=