Harga ayam tidak naik terlalu tinggi

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

PENGKALAN BATU 25 Jun – Harga jualan ayam segar dijangka tidak akan naik mendadak selepas kerajaan memutuskan ia tidak akan diapungkan bermula 1 Julai depan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, apabila keadaan itu berlaku kerajaan akan terus menanggung subsidi bagi memastikan rakyat tidak terbeban.

“Kalau harga tidak diapungkan ia tidak akan naik tinggi, mungkin kerajaan akan terus tanggung.

“Kita sebenarnya menyambut baik apa yang Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sampaikan, ini satu petanda beliau cukup prihatin dalam Semangat Keluarga Malaysia bagi memastikan kita mengurangkan bebanan rakyat,” katanya.

Beliau berkata pada sidang media selepas perasmian Program Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) Wilayah Selatan @ Aeon Bandaraya Melaka, hari ini.

Hadir sama EXCO Pertanian Dan Asas Tani Datuk Abdul Razak Abdul Rahman dan Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Datuk Wira Ghazale Muhamad.

Menurut beliau, pihak kerajaan sentiasa mengadakan perjumpaan dan perbincangan bersama persatuan penternak dalam membincangkan hal berkaitan bekalan dan harga ayam segar.

“Sebenarnya kita sentiasa mengadakan engagement dengan penternak dalam usaha memastikan bekalan mencukupi.

“Pagi tadi juga kita ada mesyuarat. Penternak berikan komitmen bahawa mereka akan tingkatkan lagi pengeluaran bahkan kita pun ada tindakan-tindakan perlu bagi memastikan supaya kita ada bekalan,” katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga dijangka akan mengadakan satu pengumuman dalam masa terdekat ini.

“Insya-Allah dalam masa terdekat Perdana Menteri wkan buat pengumuman seterusnya apakah langkah-langkah yang akan diambil kerajaan susulan harga ayam tidak diapungkan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

960
Kongsi :
Previous post Konvoi Basikal Klasik Bukit Rambai imbau nostalgia lama
Next post Lim Ban Hong ketuai misi perdagangan dan pelaburan di Mexico, Peru – MITI
Ubah saiz-+=