Sorting by

×

Harga ayam di Melaka mulai turun

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

AYER KEROH 17 Dis – Harga barangan keperluan di Melaka mula menunjukkan trend penurunan sejak akhir-akhir ini, kata Kementerian Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka.

Pengarahnya Norena Jaafar berkata, penurunan harga itu selaras dengan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) dan Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) yang dilancarkan 4 Dis lalu.

Beliau memaklumkan beberapa jenis barangan seperti ayam, telur dan sayuran yang sebelum ini naik mendadak sudah kembali stabil.

Antara yang menunjukkan penurunan ketara ialah ayam segar yang kini jatuh pada harga RM9 sekilogram, jauh lebih murah berbanding harga pada Nov lalu iaitu sekitar RM9.50 hingga RM10.50.

“Ini menunjukkan keberkesanan program yang dilaksanakan Kerajaan dalam usaha mengawal harga barangan keperluan di pasaran ketika situasi semasa yang agak mencabar ketika ini.

“Meskipun begitu penguatkuasan berterusan akan dijalankan bagi memastikan perniaga mematuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, melalui Ops Menu dan Ops Pasar (Sayuran) yang dijalankan sejak 6 Nov lalu, sebanyak tujuh kes telah dihasilkan meliputi kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 serta Akta Timbang Sukat 1972.

Selain itu katanya, sepanjang Jan hingga 16 Dis tahun ini, sebanyak 32,206 premis perniagaan telah diperiksa meliputi semua lapisan perniagaan iaitu peruncit, pemborong dan pengilang serta peladang.

“KPDNHEP Melaka telah merekodkan sebanyak 617 aduan rasmi, yang mana secara amnya berkaitan tentang perihal harga.

“Selain itu juga, sebanyak 289 kes telah direkodkan melibatkan nilai rampasan berjumlah RM108,906.69 yang terdiri dari semua akta undang-undang yang dikuatkuasakan Kementerian ini.

“Daripada jumlah itu, kompaun bernilai RM298,550 telah dikeluarkan melibatkan semua kesalahan yang dilakukan di bawah peruntukan undang-undang di bawah KPDNHEP,” katanya.

Pada masa sama, beliau mengingatkan semua peniaga agar sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan kerajaan bagi memastikan kelestarian aktiviti perdagangan di negeri ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1942
Kongsi :
Previous post Majlis sambutan Tahun Baru 2022 Melaka akan diputuskan semula
Next post CUEPACS saran penjawat awam berniaga patuh peraturan kerajaan
Ubah saiz-+=