Sorting by

×

Harga ayam dan telur dijangka diapungkan selepas Jun ini – Mohamad

Masa Membaca:2 Minit, 4 Saat

KUALA LUMPUR, 21 Feb – Harga ayam dan telur dijangka diapungkan selepas Jun ini dalam usaha kerajaan memastikan masalah kekurangan bekalan makanan itu dapat diatasi, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.

Beliau berkata harga ayam dan telur diapungkan supaya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dapat menilai serta mengawal harga barangan itu sama ada naik atau turun berbanding harga siling runcit semasa.

“Kita yakin Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) akan mencukupkan permintaan ayam dan telur (melalui pengapungan harga) dan sekarang pun sudah mencukupi cuma lima atau enam bulan lagi ia akan lebih cukup jika tidak berlaku perkara baharu yang tidak diingini (seperti bencana),” katanya ketika ditemu bual di pejabatnya di sini.

Januari lepas, Mohamad dilapor berkata MAFS sedang mengkaji keperluan mengapungkan harga telur di pasaran dan memberi subsidi bersasar kepada golongan B40 dan perkara ini melibatkan perbincangan dengan Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi serta KPDN.

Harga siling runcit semasa bagi ayam standard adalah RM9.40 sekilogram manakala harga siling runcit telur bagi Gred A pada 45 sen sebiji, Gred B (43 sen sebiji) dan Gred C (41 sen sebiji), masing-masing di Semenanjung, sementara Langkawi, Sabah, Sarawak dan Labuan, harga maksimum kedua-dua makanan itu adalah berbeza mengikut zon dan daerah.

Mengulas berhubung jagung bijian iaitu makanan kepada ternakan ayam yang hampir 100 peratus diimport khas dari Argentina dan Brazil sehingga memberi kesan kepada harga ayam serta telur, Mohamad berkata kerajaan sedang menggalakkan penanaman bahan itu di Malaysia pada tahun ini bagi menangani isu kenaikan harga makanan.

“Dalam beberapa bulan lagi (tanaman jagung bijian) dah boleh memulakan hasil…dan sudah ada syarikat mahu melaksanakan (pembelian jagung bijian) seperti (model tanaman) Padiberas Nasional Berhad (Bernas),” katanya dan menambah kajian mengenai penanaman jagung bijian sedang giat dilaksanakan di Perlis.

Dalam pada itu mengulas mengenai Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan Jumaat ini, Mohamad berharap agar jumlah peruntukan kepada MAFS tidak dikurangkan.

Beliau turut menjangkakan belanjawan yang akan dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu bakal berbentuk sederhana dengan berlandaskan konsep Malaysia Madani.

“Belanjawan 2023 lebih kepada kaedah untuk berjimat cermat namun (manfaat untuk) golongan B40 tidak akan dipotong…MAFS harap (peruntukan) sekiranya tidak ditambah, tetapi sekurang-kurangnya jangan ada potongan,” katanya.

Kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 lepas, mengumumkan Belanjawan 2023 dengan peruntukan sebanyak RM372.3 bilion secara keseluruhan dan daripada jumlah itu, RM5.32 bilion diperuntukkan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4185
Kongsi :
Previous post KPM perlu pertimbangkan baik pulih kelas kabin di sekolah – Exco
Next post Isu penyeludupan produk tembakau, produk beralkohol antara tumpuan Dewan Rakyat
Ubah saiz-+=