Harga ayam bawah RM9 sekilogram

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

PENGKALAN BATU 12 Julai – Penternak ayam di negara ini memberi jaminan paras harga jualan ayam akan menurun menjelang Ogos.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid berkata, pihaknya sebelum ini sudah mengadakan perjumpaan bersama pengusaha terbesar ayam dan penurunan harga dijanjikan diparas RM9 untuk sekilogram.

“Itu sebenarnya dijanjikan oleh penternak dan pengusaha yang mana harga ayam akan turun bawah RM9 menjelang Ogos.

“Jangkaaan itu dibuat kerana anak ayam sudah mula boleh dijual kerana kini penternak hanya memerlukan 35 hari berbanding 45 hari sebelum ini bagi membolehkan anak ayam dijual,” katanya pada sidang media selepas mengadakan Program ‘Walkabout’ Pemantauan Harga Barang di Pasar Awam Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Bachang, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna  Datuk Ismail Othman dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Norhizam Hassan Baktee serta Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka Norena Jaafar.

Beliau berkata, penternak memberi gambaran jaminan diberi pihaknya ditunaikan apabila pemantauan dilakukan KPDNHEP awal bulan ini menunjukkan harga ayam berada diparas RM9.

“Nampaknya ada kebenaran apa yang dijanjikan apabila harga yang sebelum ini mencecah RM9.60 turun antara RM8.70 dan RM8.20 sekilogram,” katanya.

Mengulas lanjut, Rosol berkata, pihaknya memberi jaminan bekalan barangan menjelang sambutan Aidiladha mencukupi.

“Bekalan raya dijangka mencukupi dan KPDNHEP akan melakukan pemantauan terhadap harga barangan kawalan khasnya ayam, santan serta barangan basah lain,” katanya.

Views:

286
Kongsi :
Previous post Gosok kulit penyu mengujakan petugas BSN
Next post KPDNHEP cuba atasi harga durian melambung
Ubah saiz-+=