Sorting by

×

Harap bantuan TH bawa sinar bergelar hajah

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

AYER LIMAU 6 April – Status asnaf atau golongan kurang berkemampuan tidak pernah memadamkan hasrat mereka ini yang menyimpan impian menjadi tetamu Allah dan menunaikan rukun Islam kelima.

Habibah bakar, 63, berharap Sumbangan Hari Raya Aidilfitri oleh Tabung Haji (TH) yang diterimanya akan membawa sinar untuk dia bergelar hajah pada suatu hari nanti.

Meskipun pendapatan tidak menentu dia yang berasal dari Felcra Ramuan Cina tetap cuba untuk menyimpan sebanyak mungkin dalam akaun TH miliknya dengan harapan namanya dipanggil untuk menunaikan ibadah haji.

“Suami saya meninggal dunia pada 2010 dan sekarang ini saya mengharapkan anak-anak selain elaun pengurus jenazah wanita (PJW) untuk menampung perbelanjaan harian.

“Elaun diterima terus saya masukkan ke dalam akaun TH. Namun ada ketikanya wang dikumpul itu terpaksa dikeluarkan, tidak mengapa insya-Allah ada rezeki saya tunaikan haji selepas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyerahan bantuan berkenaan di Japerun Ayer Limau, di sini, hari ini yang dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer dan Pengurus Lembaga Tabung Haji Cawangan Masjid Tanah, Abdul Malek Hassan.

Sementara itu seorang lagi penerima bantuan Azimah Jamaludin, 66, menyimpan hasrat sama dan berharap berpeluang untuk menunaikan ibadah haji pada suatu hari nanti.

“Niat untuk ke Mekah memang ada tetapi terbantut akibat kekangan kewangan, selain itu saya juga ada masalah kesihatan dan kerap semput,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1054
Kongsi :
Previous post Kekerapan penerbangan domestik ditambah sempena Aidilfitri
Next post 40 asnaf Taboh Naning terima sumbangan zakat wakalah
Ubah saiz-+=