Harap Bajet 2023 beri tempias kepada Melaka
Oleh: Liana Sahabudin dan Fiqa Jamal
AYER KEROH 30 September – Pembentangan Bajet 2023 pada 7 Oktober ini diharap dapat memberikan impak besar bukan sahaja kepada Negeri Melaka bahkan rakyatnya.
Exco Kesihatan dan Antidadah Negeri Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, antara yang perlu diberi keutamaan ialah sektor kesihatan awam kepada rakyat.
Beliau berkata, di bawah portfolionya, terdapat dua inisiatif kesihatan yang bakal diperkasakan pada 2023 iaitu sukarelawan ‘house call’ dan mesin Automated External Defibrillator (AED) untuk ditempatkan di kawasan tumpuan dan lokasi awam.
Justeru, beliau berharap, adanya peruntukan khas bagi inisiatif yang akan dilaksanakan itu.
“Selain itu, antara permohonan kita ialah untuk mendapatkan satu teknologi sistem integrasi membabitkan seluruh klinik kesihatan di Melaka dengan Hospital Melaka.
“Jadi, kita tak perlu lagi menggunakan kaedah manual untuk pesakit dan peruntukan ini memang sangat diperlukan dan menjadi harapan besar kita pada Bajet 2023 itu nanti,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Sementara itu, Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis turut senada dengan Ketua Menteri meminta agar peruntukan bagi sektor pelancongan dipertingkatkan.
“Harapan saya bagi Bajet 2023 ini, kalau boleh peruntukan kepada sektor pelancongan ditingkatkan dua kali ganda daripada bajet sebelum ini.
“Hal ini kerana, kita memerlukan lebih banyak peruntukan untuk tujuan promosi dan penambahbaikan produk-produk pelancongan sedia ada,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.