Hanya dua wakil isi rumah boleh keluar, tak lebih 10 km dari kediaman
PUTRAJAYA 30 Mei – Hanya dua wakil isi rumah sahaja dibenarkan keluar untuk mendapatkan bekalan makanan, ubat dan keperluan asas sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh berkuat kuasa mulai Selasa hingga 14 Jun depan.
Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jarak yang dibenarkan keluar juga ditetapkan tidak melebihi radius 10 kilometer (km) dari kediaman.
“Bagaimanapun, maksimum tiga orang sahaja termasuk pesakit dibenarkan keluar untuk mendapatkan perkhidmatan jagaan kesihatan, perubatan, ujian saringan, keselamatan atau kecemasan dalam radius tidak melebihi 10 kilometer dari kediaman.
“Mereka dibenarkan ke tempat paling hampir dengan kediaman sekiranya perkhidmatan kesihatan atau perubatan tersebut tiada dalam radius 10 kilometer dari kediaman,” katanya dalam sidang media khas, hari ini.
Selain itu, beliau turut memaklumkan penumpang teksi dan e-hailing dihadkan kepada dua orang sahaja termasuk pemandu, dan penumpang disyaratkan untuk duduk kerusi penumpang bahagian belakang.
Katanya lagi, perkhidmatan pengangkutan awam laut dan darat seperti pengangkutan pekerja, bas henti-henti, bas ekspres, LRT, MRT, ERL, Monorel, feri dan lain-lain pengangkutan awam juga dibenarkan beroperasi, namun tertakluk 50 peratus daripada kapasiti kenderaan dan waktu operasi yang ditetapkan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.