Hanya dua telco meterai perjanjian perkhidmatan dengan DNB setakat ini
KUALA LUMPUR, 4 Mei – Hanya dua syarikat telekomunikasi (telco) iaitu Telekom Malaysia Bhd (TM) dan YTL Communications Sdn Bhd (YTL) yang memeterai perjanjian perkhidmatan dengan Digital Nasional Bhd (DNB) bagi pelaksanaan rangkaian 5G negara, setakat ini.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata berikutan itu, telco lain diharap dapat menyegerakan dalam memuktamadkan perjanjian tersebut dengan DNB bagi mempercepat pelaksanaan rangkaian 5G milik kerajaan di seluruh negara.
“… oleh kerana DNB hanya menyediakan prasarana, perkhidmatan mesti dibuat oleh telco, namun beberapa telco masih berunding dan belum menandatangani perkhidmatan yang hendak diberikan kecuali TM dan YTL.
“Jadi bagi mereka yang melanggani TM dan YTL, saya difahamkan selepas Aidilfitri ini mereka akan ada pelancaran 5G di tiga kawasan (Fasa 1A) iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan Cyberjaya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis iftar Rumah Prihatin di sini, baru-baru ini.
Sementara itu Annuar turut mengingatkan tarikh akhir bagi telco menandatangani perjanjian memiliki kepentingan ekuiti dalam DNB bagi pelaksanaan rangkaian 5G negara adalah pada 30 Jun ini.
“Ini bermakna kalau pada 30 Jun mana-mana telco masih tidak mengambil ekuiti mereka, maka mereka akan ditinggalkan dan kita akan teruskan sebab tumpuan sekarang ini adalah untuk memastikan pelancaran sebenar berlaku,” katanya.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.