Sorting by

×

Hampir ‘rebah’, anak peneroka penuntut terbaik

Masa Membaca:2 Minit, 29 Saat

SUNGAI UDANG 21 Ogos – ‘Tidak dapat tidur malam selain makanan dicatu yang mana memerlukan ikhtiar sendiri untuk meneruskan hidup antara ujian memeritkan yang perlu diharungi,” itu kata Leftenan Mohd Saiful Al-Fikri Rosli, 24.

Bagaimanapun, demi memastikan cabaran itu sekadar menguji ketahanan fizikal dan mental untuk bergelar seorang komando, Mohd Saiful Al-Fikri dari Batalion ke-13 Rejimen Askar Melayu (RAMD) Kem Pakit Sri Aman, Sarawak tekadkan azam dan berjaya menempuhi ‘azab’ itu sekali gus dinobatkan Penuntut Terbaik dalam Kursus Asas Komando Siri AK/1/2023.

Selain dorongan rakan-rakan seperjuangan serta mahu membanggakan ibu dan ayah di kampung membuatkan anak jati Felda Palong Timur 1, Segamat, Johor ini meneruskan kecekalan untuk menamatkan kursus selama tiga bulan itu dengan cemerlang.

Menceritakan detik melalui ujian sukar itu, Mohd Saiful berkata, keazaman untuk menguji keupayaan diri sendiri menjadi pembakar semangat untuk dia menjadi seorang komando.

“Untuk jadi seorang komando, perlu ada jiwa, kalau tidak ada, kita tidak boleh teruskan.

“Jika mahu diceritakan sepanjang tiga bulan berkursus, ia memeritkan namun dengan adanya dorongan daripada rakan-rakan seperjuangan, kami saling mengingatkan antara satu sama lain jika ada antara kami yang rebah,” katanya ketika ditemui pada majlis penutup kursus berkenaan.

photo_2023-08-21_12-31-31
LEFTENAN Mohd Saiful dinobatkan Penuntut Terbaik Kursus Asas Komando Siri AK1/2/2023 disampaikan Panglima 21 GGK, Mejar Jeneral Adi Ridzwan Abdullah di Kem PULPAK Sungai Udang.

Terdahulu, majlis penutup yang diadakan di Pantai Betutu Laut, Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULPAK), Kem Sungai Udang, Melaka Sabtu lalu disempurnakan Panglima 21 Gerup Gerak Khas (GGK), Mejar Jeneral Adi Ridzwan Abdullah dengan memakaikan beret hijau serta menganugerahkan pisau komando kepada 19 pegawai dan 59 anggota.

Mohd Saiful berkata, mengimbau kembali ketika melalui ujian pada fasa hutan yang mana memerlukan ketahanan fizikal untuk berjalan laju sejauh 190 kilometer, dia agak terkilan dan sedih kerana separuh daripada pasukannya ‘gugur’.

“Apabila melalui ujian di fasa itu memang sedih, tengok kaki masing-masing tidak bermaya namun berbekalkan semangat juang yang tinggi untuk jadi seorang komando, kami teruskan tekad dan teruskan perjalanan sehingga berjaya,” katanya.

Perasaan sayu berbaur gembira dizahirkan pada wajah bapa Mohd Saiful, Rosli Othman yang tidak menyangka anak bongsu daripada enam adik-beradik itu mampu membanggakan keluarga.

Dia berkata, ketika dibangku sekolah, anaknya tidak menunjukkan ciri-ciri keperwiraan kerana lebih banyak bergiat dalam pertandingan kebudayaan seperti pantun dan zapin namun sebagai ibu dan ayah, dia dan isterinya berusaha untuk memastikan anaknya berjaya melanjutkan pengajian ke Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) sekali gus berjaya bergelar parajurit negara.

“Keluarga kami tiada yang jadi tentera, namun saya anggap kelahirannya anugerah daripada Allah S.W.T kerana dia lahir ketika memperingati tragedi Bukit Kepong iaitu pada 23 Februari, jadi Alhamdulillah, ciri-ciri keperwiraan itu ada dalam dirinya.

“Sebagai bapa, saya sentiasa doakan kesejahteraannya namun kekuatan (mental dan fizikal) itu sendiri ada dalam dirinya, yang penting sentiasa akur (pada arahan), itu yang saya didik pada anak-anak,” katanya sebak mengakhiri perbualan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

9622
Kongsi :
Previous post Dua Ahli Dewan Negara angkat sumpah Senator hari ini
Next post Inisiatif parkir masjid jana pendapatan bantu kariah
Ubah saiz-+=