Hampir 92,000 dapat manfaat penganjuran PJMKM

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

LENDU 24 September – Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (PJMKM) 2.0 dianjurkan bermula 1 Ogos lalu memberi manfaat kepada lebih 92,000 pengguna seluruh Negeri Melaka.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, setakat ini 91 penganjuran PJMKM 2.0 dilaksanakan di semua 28 Dewan Undangan Negeri (DUN).

“PJMKM menawarkan barangan 20 peratus lebih murah berbanding harga biasa, serba sedikit dapat meringankan beban rakyat akibat kenaikan yang tidak menentu dan tidak ada DUN ketinggalan.

“Hari ini kita tengok barangan seperti beras, ditawarkan kurang sebanyak RM5, gula kurang 0.55 sen dan daging segar hanya dijual RM32 satu kilogram. Jadi ini bukti bahawa Kerajaan Negeri hari ini begitu prihatin terhadap rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran PJMKM 2.0 DUN Lendu yang turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah Operasi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Abdul Rashid Bahri, di Lendu, di sini, hari ini.

Sementara itu, Abdul Rashid berkata, kerajaan memberikan subsidi berjumlah hampir RM560,000 sepanjang penganjuran PJMKM 2.0.

“Setakat ini nilai jualan kasar diperoleh adalah lebih RM2.7 juta dan kita sasarkan jumlah itu akan meningkatkan kepada RM10 juta hujung tahun ini.

“Selain membantu rakyat khususnya yang berpendapatan rendah ia secara tidak langsung membantu usahawan meningkatkan hasil jualan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2446
Kongsi :
Previous post Fahami peranan agensi, elak salah faham
Next post Tiga lelaki ditahan curi kabel di Padan Indah
Ubah saiz-+=