
Hampir 69 peratus populasi dewasa Malaysia lengkap vaksinasi setakat semalam – JKJAV
KUALA LUMPUR 7 Sept – Sebanyak 68.8 peratus atau 16,107,712 individu daripada populasi dewasa di negara ini telah melengkapkan suntikan vaksin COVID-19 setakat semalam, menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV).
JKJAV menerusi perkongsian infografik di laman Twitter rasminya hari ini, memaklumkan 313,751 dos vaksin COVID-19 melibatkan 132,640 dos pertama dan 181,111 dos lengkap diberikan semalam, menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
“Sebanyak 20,677,827 individu atau 88.3 peratus populasi dewasa Malaysia sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19 setakat Isnin,” demikian menurut JKJAV.
PICK dilancarkan pada 24 Februari lalu bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik COVID-19 di seluruh negara.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.