Sorting by

×

HAMPIR 300 SERTAI MEMANAH PIALA KETUA MENTERI

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

TANJUNG BIDARA 14 April – Hampir 300 peserta kanak-kanak dan dewasa mengambil bahagian pada penganjuran Kejohanan Memanah Tradisional Melaka Siri 8/2025 Piala Ketua Menteri Melaka berlangsung di Padang Bola Kampung Seri Jeram, Masjid Tanah, di sini, Sabtu dan Ahad lalu.

Presiden Persatuan Memanah Melaka (MELTRA) Mohd Irham Mohd Ihsan berkata, sambutan amat menggalakkan itu menunjukkan sukan memanah tradisional semakin mendapat perhatian dalam kalangan rakyat Malaysia khususnya di negeri ini.

Katanya, objektif utama penganjuran itu adalah untuk memilih pemanah terbaik bagi mewakili Negeri Melaka ke kejohanan memanah tradisional kebangsaan dijadualkan berlangsung di Universiti Islam Melaka pada 31 Mei dan 1 Jun nanti.

“Alhamdulillah sambutan amat menggalakkan terutama dalam kalangan pelajar sekolah dan golongan veteran sekitar Negeri Melaka. Selain kelab-kelab tempatan kita juga menerima penyertaan wakil dari Negeri Sembilan, Johor dan Selangor.

“Bukan sahaja mahu membina kekuatan mental, fizikal dan jati diri, antara objektif penganjuran ini adalah untuk menggalakkan lebih ramai mengamalkan sunnah menerusi sukan memanah serta memartabatkan busana Melayu,” katanya ketika ditemui di tapak kejohanan.

Penyampaian hadiah dan perasmian penutup kejohanan disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, hadir sama Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer dan Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Melaka Mohd Asri Ninggal.

Yang turut hadir Presiden Persatuan Memanah Tradisional Malaysia (TAAM), Zainurin Osman; Pengerusi Kelab Memanah Tradisional Seri Jeram (KEMETRAM) Abdul Rahman Mahad dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Seri Jeram, Abdul Rahim Yunus.

Mengulas lanjut, Mohd Irham berkata sukan memanah tradisional berbeza jika dibandingkan aktiviti memanah biasa kerana dilaksanakan dengan hanya menggunakan peralatan asas sahaja.

“Contoh anak panah adalah daripada kayu atau buluh, busur pula tidak menggunakan alat bantuan seperti ‘pengimbang’ atau sebagainya. Jadi sukan ini memerlukan kekuatan mental dan fizikal pemanah itu sendiri,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

615
Kongsi :
Previous post ZIARAH KASIH KEMBARA KAK SOM PADA WRUR DUN LENDU DAN SUNGAI UDANG
Next post SUSPEK KES CULIK REMAJA 16 TAHUN MAUT DITEMBAK DI KLANG