Hampir 200 peserta dapat kerja di Karnival Kerjaya 3 Daerah

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

AYER KEROH 14 April. – Hampir 200 peserta Karnival Kerjaya 3 Daerah Peringkat Negeri Melaka di Alor Gajah baru-baru ini berjaya memperoleh pekerjaan ditawarkan majikan dalam pelbagai sektor.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Tun Perak (ITP) Datuk Dr Sabri Mohamad Sharif berkata, keseluruhannya seramai 851 peserta mendaftar untuk mencari kerja dan dipanggil menghadiri sesi temu duga kali pertama.

Katanya, daripada jumlah itu seramai 420 orang dipanggil untuk temu duga kali kedua berdasarkan kelayakan dan selepas tapisan.

“Seramai 200 peserta berjaya mendapat pekerjaan ditawarkan secara terus dalam karnival ini.

“Untuk temu duga pertama peluang mendapat kerja hanya 50 peratus, tapi kali kedua peluang untuk dapatkan pekerjaan lebih tinggi,” katanya sambil menambah seramai 256 peserta direkodkan gagal semasa temu duga.

Sabri berkata, mereka yang gagal semasa sesi temu duga masih berpeluang untuk mendapatkan pekerjaan semasa penganjuran karnival itu di Daerah Melaka Tengah pada Ogos depan.

“Ia bukan satu masalah kepada pencari kerja kerana kita ada dua lagi karnival kerjaya di Melaka Tengah bulan Ogos dan Jasin hujung tahun ini.

“Pada mereka yang gagal masih berpeluang untuk mohon kerja dan kita doakan kes COVID-19 di Melaka semakin kurang dan sempadan dibuka untuk menggalakkan lebih ramai pengunjung ke karnival ini,” katanya.

Beliau berkata, keseluruhannya 2,767 pengunjung direkodkan menghadiri karnival sehari itu dengan 330 orang berminat untuk menceburi bidang keusahawanan.

Sementara itu, Sabri berkata, seramai 419 peserta berjaya menjawab ujian Psikometrik bagi mengetahui potensi diri mereka dan apakah bidang-bidang yang bersesuaian untuk mereka ceburi.

“Lebih 150 soalan mereka perlu jawab, sasaran kita hanya 300 orang tapi kita dapat 419 orang melebihi sasaran ditetapkan,” katanya lagi.

Lebih 30 agensi swasta dari dalam dan luar Melaka menyertai karnival itu yang dianjurkan dengan kerjasama Institut Tun Perak dan Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

393
Kongsi :
Previous post Polis Melaka bincang penguatkuasaan di pasar Ramadan
Next post Kontraktor didakwa halang polis, tidak berhenti sekatan, menunggang melulu
Ubah saiz-+=