Sorting by

×

Hal kubur pun buat main

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

PULAU BESAR 27 September – Pihak tidak bertanggungjawab dikesan membina struktur kubur ‘palsu’ di Pulau Lalang yang dipercayai digunakan dalam aktiviti khurafat dan pemujaan.

Binaan berkenaan bagaimanapun sudah dimusnahkan oleh Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), bagi mengelakkan ia daripada terus menjadi tumpuan pihak menjalankan aktiviti bertentangan dengan akidah.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, perkara itu berdasarkan pemantauan dijalankannya di pulau berkenaan apabila mengesan ada kubur palsu dibina pihak tidak bertanggungjawab.

“Lawatan saya ke Pulau Lalang dan Pulau Besar sebelum ini untuk melihat bekas pemindahan kubur lama dan didapati aktiviti khurafat ini masih lagi berlaku. Sebenarnya tiada sebarang jenazah di temui semasa penggalian sebelum ini. Mereka hanya membuat reka cerita konon ada makam lama tetapi hakikatnya tiada.

“Apa yang mengecewakan, walaupun kubur itu telah dipindahkan, tapi masih ada kesan orang yang tidak bertanggungjawab datang untuk aktiviti khurafat. Siap letak kain kuning dan membuat tanda kuburnya dimana.

“Saya mengarahkan JAIM untuk memantau perkara ini setiap masa dan ambil tindakan berhubung kegiatan bercanggah dengan agama Islam termasuk meroboh struktur kubur yang dibina semula,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Rahmad berkata, lawatan bersama JAIM ke pulau berkenaan juga bertujuan untuk meninjau keperluan fasiliti pelancongan bagi keselesaan pengunjung selepas ini.

Hadir sama pada lawatan itu Pengarah JAIM, Datuk Badaruddin Mohd Kassim, Ahli Majlis Pegawai Tugas-Tugas Khas Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Datuk Wira Md Rawi Mahmud dan Ketua Bahagian Penguatkuasaan JAIM, Akmal Nadzim Abdullah.

Katanya, pakej pelancongan Islamik menjadi salah satu penanda aras bagi memastikan tarikan pelancongan diperkasakan di Pulau Besar dan gugusan pulau lain termasuk Pulau Lalang.

“Pulau Lalang adalah sebahagian daripada gugusan Pulau Besar besar, jadi untuk pelancongan Islamik Pulau Lalang juga boleh dimasukkan dalam pakej pelancongan seperti ‘island hopping’ dan sebagainya.

“Kerajaan Negeri akan memperkenalkan juga pakej pelancongan penginapan di Pulau Besar pada tahun hadapan dilengkapi dengan pakej island hopping mengembara sekitar Taman termasuk Pulau Undan, Pulau Nangka dan Pulau Dodol sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

“Pakej pelancongan yang diperkenalkan ini akan menarik lebih banyak pelancong dan pada masa sama ia mampu menghapuskan segala amalan khurafat yang berlaku di pulau berkenaan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1577
Kongsi :
Previous post Pemandu lori ais terkejut lihat pak belang di laluan Gua Musang-Jeli
Next post Melaka bakal jadi pengeluar benih padi MR297
Ubah saiz-+=