Hakisan Pantai: Kerajaan negeri tidak lepas tangan
LENDU 14 Sept. – Tiada istilah lepas tangan yang dipraktikkan kerajaan negeri dalam menangani fenomena hakisan pantai yang semakin serius di Pantai Puteri, Pengkalan Balak, Kuala Sungai dan Kuala Linggi.
Sebaliknya, kerajaan negeri sudah membelanjakan jutaan ringgit bagi membolehkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaksanakan beberapa projek perlindungan pantai daripada terus terhakis yang ada antaranya mengancam kehidupan anggota komuniti.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali menegaskan, selain menggunakan dana kerajaan negeri untuk menjalankan kerja pembaikan pantai seperti membina benteng pemecah ombak dan tembok penahan ombak, kerajaan negeri juga memohon peruntukan daripada Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA).
“Kita tidak pandang ringan fenomena hakisan pantai kerana ia menjejaskan kehidupan nelayan dan industri pelancongan dan pelbagai langkah sudah diambil.
“Sebelum ini kita berikan peruntukan yang banyak kepada JPS untuk menjalankan kerja pembaikan pantai dan sekarang kita buat permohonan kepada Kerajaan Persekutuan,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Projek Usahawan Agro Koperasi Usahawan Masjid Tanah Berhad (KUSMET) di Kampung Solok Air Batu, Masjid Tanah dekat sini.
Hadir sama, Pengerusi KUSMET, Datuk Mohd Alias Abdul dan ketua projek berkenaan, Dr Baharuddin Othman.
Hakisan pantai dilaporkan mengancam industri pelancongan di Pantai Puteri, selain menjejaskan kehidupan nelayan dan pengusaha chalet di Pengkalan Balak, Telok Gong dan Kampung Tanjung Dahan di sini sejak Jun lalu.
Hakisan di Pantai Puteri menyebabkan berpuluh pokok rhu tumbang, sekali gus mengancam kehadiran pengunjung di pantai berkenaan manakala hakisan di Pengkalan Balak, Telok Gong dan Tanjung Dahan menyebabkan nelayan tidak dapat menurunkan perahu ke gigi pantai.
Ada antara hakisan berkenaan sedang ditangani JPS dengan membina tembok penahan ombak seperti yang dibuat di pantai peranginan Kampung Sungai Kertah, Pengkalan Balak.
Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, kos kerja perlindungan pantai membabitkan perbelanjaan tinggi dan memerlukan kerjasama antara JPS dengan nelayan, terutama dalam menentukan kaedah pembinaan struktur paling berkesan bagi mengatasi masalah hakisan.