Sorting by

×

Hak tuan rumah temasya SUKMA diputuskan secara penggiliran – MSN

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

KUALA LUMPUR, 22 Feb – Penentuan hak sebagai tuan rumah penganjuran temasya Sukan Malaysia (Sukma) diputuskan secara bersama dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma dianggotai wakil kesemua 14 negeri.

Majlis Sukan Negara (MSN) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pendekatan terpakai adalah penggiliran mengikut zon dan setiap negeri diberikan peluang untuk menjadi tuan rumah temasya yang menjadi platform pertandingan untuk atlet berumur bawah 21 tahun.

Menurut MSN sistem pusingan tuan rumah Sukma mengikut zon mula dilaksanakan pada 2002 di Sabah.

Sistem zon dibahagikan kepada lima iaitu Zon Utara melibatkan Kedah, Perlis dan Pulau Pinang; Zon Selatan (Negeri Sembilan, Melaka, Johor); Zon Timur 1 (Pahang, Terengganu, Kelantan); Zon Timur 2 (Sabah, Sarawak) dan Zon Barat (Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan).

“Mengikut sistem penggiliran tuan rumah, Kelantan sepatutnya menjadi tuan rumah pada 2012, namun diberikan kepada Pahang apabila Kelantan tidak bersedia dari segi kemudahan dan infrastruktur sukan yang perlu disiapkan oleh pihak kerajaan negeri,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, MSN menjelaskan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma pada Mei 2015 telah memilih Perak selaku tuan rumah edisi 2018 dan Johor (2020) serta meminta Kelantan mempertimbangkan kesediaan sebagai tuan rumah Sukma 2022.

Namun, mesyuarat jawatankuasa sama pada Mac 2019 telah meluluskan cadangan penggiliran tuan rumah antara kerajaan negeri dan MSN, menyaksikan MSN menjadi tuan rumah pada 2022 selain memutuskan untuk berbincang dengan kerajaan Kelantan bagi pengganjuran edisi 2024.

“Ekoran penularan wabak COVID-19, Mesyuarat khas Jawatankuasa Tertinggi Sukma pada 9 Nov 2020 telah bersetuju dengan permintaan kerajaan Johor untuk menunda penganjuran Sukma ke tahun 2022,” menurut kenyataan itu.

Mesyuarat khas itu turut memutuskan MSN akan menganjurkan Sukma ke-21 bersama-sama Selangor atau Wilayah Persekutuan pada 2024 sementara Kelantan sebagai tuan rumah Sukma 2026.

Bagaimanapun, MSN menjelaskan Johor memohon kepada Jawatankuasa Tertinggi Sukma supaya diberikan hak penganjuran Sukma 2024 dan mesyuarat pada Oktober 2021 meluluskan permohonan itu serta MSN selaku tuan rumah pada Sukma 2022.

Dalam pada itu, MSN berkata hak Kelantan selaku tuan rumah Sukma ke-22 pada 2026 tetap kekal seperti diputuskan sebelumnya.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1198
Kongsi :
Previous post 22.2.22 tarikh ‘ong’ berkahwin
Next post Dos penggalak mampu lawan gelombang Omicron – KP Kesihatan
Ubah saiz-+=