HAJAT ‘ASKAR CILIK’ LIHAT PERBARISAN ATM TERCAPAI
BANDA HILIR 31 Ogos – “Sejak pukul 6 pagi anak sudah mula bersiap kerana teruja mahu meraikan Hari Kemerdekaan Ke-67 dengan berpakaian celoreng askar.
“Apabila hujan turun dengan lebat sekitar jam 7 pagi, dia sedikit kecewa, namun demi anak, saya tetap berusaha merealisasikan impiannya untuk menyaksikan perarakan dan perbarisan kemerdekaan secara lebih dekat,” kata Mohd Zulfadly Zulkipli, 39.
Menurut Mohd Zulfadly, anaknya, Muhammad Nazrin, 7 bersama sepupu, Aryan Ziyad Amirul, 8, dan Muhammad Ariq Zahim, 6 begitu teruja mengenakan pakaian seragam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada sambutan Hari Kebangsaan 2024 Peringkat Negeri Melaka di Persiaran Jalan Merdeka, Banda Hilir, hari ini.
Meskipun berhabis ratusan ringgit untuk membeli set pakaian tersebut, namun ia bukan penghalang demi merealisasikan hasrat anak yang bercita-cita wira pertahanan negara sejak kecil lagi.
“Sejak berumur 3 tahun anak saya memang meminati kerjaya sebagai seorang tentera dan dia banyak meluangkan masanya menonton video berkaitan ATM di Youtube membuatkan dia bersemangat untuk menjadi askar apabila dewasa nanti.
“Dari situ dia mula meminta saya membelikannya uniform seakan-akan tentera, di mana satu set pakaian dibeli dengan harga RM160 dan mencecah sekitar RM500 jika termasuk setiap kelengkapan dan aksesori lain,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Menurut Mohd Zulfadly, walaupun baru selesai kerja ‘shift’ malam di Hospital Melaka namun ia bukan penghalang untuknya mengambil keluarga di Merlimau Pantai dan bergegas ke Banda Hilir pada jam 9 pagi.
Menurutnya, pengorbanan itu berbaloi apabila melihat reaksi gembira dan teruja keluarganya kerana dapat menyaksikan detik istimewa tersebut di depan mata.
“Bagi saya penganjuran di lokasi baharu ini amat strategik dan memberi keselesaan kepada semua pengunjung yang hadir kerana perarakan dan perbarisan itu dapat dilihat lebih jelas,” katanya lagi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.