Sorting by

×

HADIAH PENAT LELAH WARGA PPSPM

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

BANDARAYA MELAKA 19 Disember – Penat lelah dan kerja keras warga Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) dalam merancakkan sektor pelancongan Melaka terbalas apabila bakal menerima saguhati istimewa.

Perkara itu diumumkan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada Majlis Makan Malam PPSPM 2024 di sebuah hotel, di sini, malam tadi.

Ab Rauf yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah PPSPM memaklumkan saguhati berupa empat bulan gaji itu merupakan hasil pulangan daripada pengorbanan dan usaha gigih setiap kakitangan PPSPM sepanjang Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

“Semoga dengan saguhati empat bulan ini akan memberikan motivasi kepada semua 136 kakitangan PPSPM yang bekerja siang dan malam untuk menjayakan TMM2024.

“Pemberian saguhati ini akan diberi secara dua bulan pada hujung tahun ini dan baki dua bulan lagi menjelang Aidilfitri nanti,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri merangkap Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah PPSPM, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Penasihat Khas kepada Ketua Menteri Melaka merangkap Ahli Lembaga Pengarah PPSPM, Datuk Wira Zainal Abu dan Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM, Shaharul Azuar Idris serta kenamaan lain.

Dalam pada itu, Ab Rauf berkata, kesemua kakitangan PPSPM yang berkhidmat secara kontrak juga akan menerima kenaikan gaji minimum RM240 atau lapan peratus bermula Disember 2024.

Jelasnya, kenaikan itu berdasarkan pelaksanaan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2024 yang diputuskan Lembaga Pengarah PPSPM.

Pada majlis itu juga, Ab Rauf telah melancarkan Sistem Sumber Manusia (HRS System) yang akan digunakan oleh kakitangan PPSPM dalam melancarkan urusan pentadbiran.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

106
Kongsi :
Previous post PPSPM TAMBAH DUA LOKASI BAHARU ‘RIVER CRUISE’ TAHUN DEPAN
Next post PTPTN MELAKA DEKATI MAJIKAN
Ubah saiz-+=