Sorting by

×

Hadiah kuih raya sempena Aidilfitri

Masa Membaca:1 Minit, 55 Saat

AYER KEROH 15 April – Minat kepada bidang perniagaan sejak 15 tahun yang lalu, mendorong seorang ibu meneruskan bidang itu dengan menampilkan kelainan menjual kuih raya berbentuk cenderahati.

Mesra disapa sebagai ‘Kak Ayu’, ibu kepada tiga anak ini mencabar dirinya membuat satu kelainan pada setiap kali musim perayaan.

Kata Ayu atau nama sebenarnya Firda Ayu Mohd Zubir,53, dia mula berjinak dalam bidang itu dengan menjual kek lapis Sarawak bersama adik iparnya.

“Saya bermula dengan menjual kek lapis Sarawak bersama adik ipar. Disebabkan permintaan yang banyak saya terfikir untuk menjual cenderahati atau hamper kuih raya setiap musim perayaan.

“Biarpun niaga cenderahati atau hamper raya ini baru mula empat tahun lalu, namun sambutan setiap hari boleh mencecah sehingga 300 unit.

“Setiap kali menjelang perayaan saya akan promosi awal kepada pelanggan supaya mereka dapat rasa dahulu sebelum beli cenderahati ini,” katanya ketika ditemui MHI di rumahnya di Taman Ozana di sini, hari ini.

FIRDA Ayu

Katanya memilih untuk menghasilkan ‘doorgift’ (cenderahati) kuih raya pada setiap musim perayaan adalah sangat unik kerana perlu mengikut tema perayaan yang diraikan.

“Dia ikut perayaan, contoh sekarang Aidilfitiri konsepnya hijau, kalau krismas warna merah dan hijau, Tahun Baru Cina warna merah dan isinya juga berbeza.

“Biasanya kuih raya yang kita letak begantung kepada permintaan setiap agama itu, kadang perayaan Krismas mereka suka biskut almond london, raya Cina pula kuih bakul dan tart nyonya.

“Saya ada jual pelbagai kotak, kotak kecik ada dua jenis kuih dengan harga RM40, dalam bakul RM70, kotak besar RM150 (9 jenis kuih) dan dodol gula Melaka 300 gram RM15 dalam bentuk anyaman mengkuang,” katanya lagi.

ANTARA cenderahati kuih raya yang dijual setiap kali musim perayaan.

Menurutnya, biarpun dia membeli kuih raya dari pembuat kuih di luar, namun kualiti kuih tersebut menjadi keutamaannya.

“Saya memang ambil daripada ‘bakers’ yang betul-betul ada kedai atau buat di rumah, saya tak ambil di pasaraya luar sebab risau kualiti atau rasa kuih kurang sedap.

“Saya lebih pentingkan kualiti dari kuantiti, sebab kita nak ‘repeat customer’ (pelanggan berulang), alhamdulillah setakat ini biasanya jualan cecah ratusan.

“Tahun ini saya jangka sehingga 500 unit cenderahati akan terjual, sekarang pun sudah lebih 100 tempahan yang siap dibuat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2148
Kongsi :
Previous post Remaja putus tiga jari akibat mercun bola
Next post Panjut buluh ‘Mak Ngah’ sinari Aidilfitri di Brunei, Singapura
Ubah saiz-+=