Hadiah buat ibu, ayah

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

BUKIT BARU 23 Julai – “Keputusan ini adalah hadiah untuk ibu bapa yang mahu melihat saya melangkah ke menara gading,” kata pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2023 Muhammad Farriezs Mohd Yunus.

Muhammad Farriezs, 20, adalah antara 21 calon STPM Melaka yang memperoleh PNGK 4.0.

Dia pada mulanya tidak meletakkan harapan terlalu tinggi, namun berazam untuk melakukan yang terbaik kerana mahu menggenggam ijazah.

Katanya, walaupun memperoleh keputusan 8A pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) lalu, dia tidak mendapat tawaran untuk melanjutkan pengajian ke universiti.

“Mungkin ketika itu belum ada rezeki, saya tidak putus asa atau berasa kecewa kerana masih ada tingkatan enam untuk buktikan kemampuan dalam akademik. Mungkin ada hikmahnya, kerana kos pengajian bagi tingkatan enam tidak begitu tinggi.

“Alhamdulillah, usaha keras selama setahun setengah berbaloi apabila saya mendapat PNGK 4.0 dan selepas ini melanjutkan pelajaran ke universiti,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Aspresiasi Peperiksaan STPM 2023, yang disempurnakan Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Rosli Abdullah di Jabatan Pendidikan Negeri Melaka, Jalan Bukit Baru, hari ini.

Anak bongsu daripada lima beradik ini berkata, melanjutkan pengajian ke tingkatan enam sebelum ini dianggap sebagai satu keputusan yang tepat buat dirinya.

“Tidak kira di mana kita belajar, jika berusaha dan ikhlas pasti semua urusan dipermudahkan. Jujurnya saya risau untuk meletakkan harapan yang tinggi walaupun keputusan percubaan sebelum ini mendapat 3.43.

“Perancangan saya selepas ini untuk sambung pengajian dalam bidang ekonomi dan tunaikan impian emak ayah melihat anaknya ada yang dapat ke menara gading,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1848
Kongsi :
Previous post Melaka negeri pertama siri lawatan kerja Yang Dipertua Dewan Rakyat
Next post ‘Saya rasa bersalah terhadap isteri, anak-anak’
Ubah saiz-+=