Sorting by

×

‘Hadiah’ Aidiladha untuk nelayan

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

KUALA LINGGI 13 Jun – Impian seorang nelayan untuk memiliki rumah sendiri sejak 15 tahun lalu akhirnya termakbul apabila menerima kunci Projek Penempatan Semula Nelayan di Kuala Sungai Baru Ilir, di sini, semalam.

Muhammad Zaidi A Rahman, 42, yang merupakan nelayan pesisir pantai sejak 20 tahun lalu bersyukur kerana dia bersama keluarga kecilnya mendapat kediaman baharu yang lebih selesa.

Menurutnya, sebelum ini dia bersama isteri dan tiga anak terpaksa menumpang di rumah orang tuanya di Kampung Nelayan Kuala Linggi bersama 11 ahli keluarga lain.

Namun, kini, kehidupannya berubah apabila dapat memiliki rumah sendiri dan istimewanya, rumah berkenaan hanya perlu dibayar pada harga jauh lebih murah iaitu RM45,000 hasil subsidi diberikan kerajaan di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

“Saya memang berpuas hati dengan rumah baharu ini yang mempunyai tiga bilik dan cukup selesa untuk keluarga saya.

“Sejak berumah tangga 15 tahun lalu, saya memang mengimpikan untuk memiliki rumah sendiri dan alhamdulillah hajat itu dimakbulkan menjelang Hari Raya Aidiladha yang bakal disambut umat Islam.

“Terima kasih saya ucapkan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang membantu menyegerakan rumah khas untuk nelayan ini dan insya-Allah kami sekeluarga akan berpindah dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Nelayan Di Mukim Kuala Sungai Baru Ilir, Daerah Alor Gajah.

Terdahulu, simbolik penyerahan kunci itu telah disempurnakan Ketua Menteri dan turut dihadiri Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Dr. Muhamad Akmal Saleh serta lain-lain kenamaan.

Photo1718179003
MOHAMAD Arifin menunjukkan replika kunci rumah baharu yang diterimanya. Foto Muhammad Rasul Azli Samad

Sementara itu, Mohamad Arifin Aznan, 30, turut berterima kasih kepada Kerajaan Negeri dan semua pihak yang merealisasikan impian nelayan sepertinya untuk memiliki rumah sendiri yang lebih selesa.

Nelayan yang berpangkalan di Sungai Lereh itu mengakui gembira kerana kebajikan mereka diberi perhatian oleh kerajaan.

“Walaupun masih bujang, rumah ini amat membantu sebagai persiapan untuk saya apabila melayari bahteri rumah tangga kelak.

“Terima kasih kepada Ketua Menteri kerana berjaya merealisasikan impian saya sejak sekian lama untuk memiliki rumah sendiri,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

121
Kongsi :
Previous post UiTM Melaka usul resolusi ganti istilah ‘OKU’
Next post Ibu bapa Zayn Rayyan mengaku tidak bersalah abai anak
Ubah saiz-+=