Had 200 pengunjung ke Taman Laut Melaka
TELOK MAS 21 Oktober – Jabatan Perikanan Negeri mengehadkan kemasukan pengunjung kepada 200 orang sebulan demi melindungi ekosistem biodiversiti Taman Laut Melaka.
Timbalan Pengarah Perikanan Melaka, Nawar Abd Karim berkata sejak tiga pulau iaitu Pulau Undan, Pulau Dodol dan Pulau Nangka yang diwartakan sebagai Taman Laut Negara pada April lalu, jumlah pengunjung direkodkan adalah seramai 1,200 orang.
Katanya, pembukaan taman laut kepada orang ramai itu masih baharu dan pihaknya masih menjalankan kajian bagi menentukan jumlah kemasukan pengunjung ke taman laut berkenaan.
“Sasaran kita masih dalam anggaran itu (200 orang sebulan), namun kita masih membuat kajian untuk tentukan kaspasiti sebenarnya bagi melihat berpaa ramai pengunjung yang boleh datang ke Taman Laut Melaka.
“Kita juga akan lihat apa aktiviti yang boleh dilakukan kerana bukan semua tempat yang boleh kita kumpulkan beramai-ramai.
“Taman Laut Melaka ini masih permulaan dan kalau dilihat pada rekod dalam tempoh enam bulan pertama ini, kita mencapai 1,200 pengunjung, bagaimanapun pada masa kita akan tengok sama ada 200 orang dalam sebulan ini memadai atau perlu ditambah bergantung kepada aktiviti dilakukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Mempromosi Taman Laut Melaka di Pulau Undan.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Pulau-pulau Melaka (MPPM), Azhar Yaacob.
Mengulas lanjut, Nawar berkata, pelaksanaan had jumlah pengunjung itu adalah untuk melindungi ekosistem dan biodiversiti marin di ketiga-tiga pulau itu supaya tidak tercemar atau musnah.
“Kita perlu melindungi sumber karang ini dan tidak mahu kedatangan pengunjung terlalu ramai boleh menjejaskan sumber itu,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.