‘H’ biru bawa dadah rupanya…
BANDA HILIR 5 Mac – Bagaikan aksi dalam filem…Itu gambaran mengenai situasi cemas di Jalan Bendahara, di sini, apabila berlaku insiden kejar-mengejar di antara sepasukan polis dengan sebuah kereta berwarna biru dipercayai ‘tokan’ dadah, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, kereta yang dinaiki dua suspek berusia 33 dan 37 tahun itu bukan sahaja melarikan diri ketika cuba ditahan polis, bahkan turut bertindak agresif serta memandu secara melulu sehingga mengakibatkan kemalangan.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kereta tersebut pada awalnya telah ditahan di hadapan Hospital Pakar Putra oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Melaka Tengah.
Ketika ditahan, pemandu dan penumpang bagaimanapun enggan memberikan kerjasama dan cuba melarikan diri dengan menghidupkan semula enjin kenderaan.
“Sebaik enjin dihidupkan suspek telah bertindak agresif dengan melanggar sebuah kereta orang awam dan mengundur secara berbahaya dengan melanggar sebuah lagi kenderaan, selain cuba merempuh anggota bertugas.
“Kedua-dua suspek kemudiannya memecut menghala ke Jalan Bukit Cina dan melanggar beberapa buah lagi kenderaan orang awam sebelum berjaya ditahan di hadapan sebuah hotel,” katanya.
Christopher berkata, hasil penahanan dan pemeriksaan ke atas kereta terbabit menemui 12 peket lutsinar dadah jenis syabu seberat 51.43 gram; satu peket heroin seberat 30.69 gram dan satu peket dedaun kering disyaki ganja seberat 1.23 gram.
Turut dirampas, satu beg berzip berwarna hitam, satu peket plastik lutsinar, rod kaca, kunci kereta, wang tunai RM200 dan alat penimbang.
Katanya, hasil siasatan awal, suspek mengaku kesemua dadah yang dirampas adalah milik mereka selepas mengambil bekalan daripada ‘Boy’ Batu Berendam menerusi orang tengah yang dikenali sebagai Haikal.
Hasil ujian air kencing ke atas suspek mendapati kedua-duanya positif dadah jenis methamphetamine, selain turut mempunyai rekod lampau berkaitan dadah, curi, rompak dan mencederakan orang.
“Dalam kejadian itu juga, beberapa anggota polis telah mengalami kecederaan di lutut, kaki dan jari,” katanya.
Tambahnya, kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.