Guru puji inisiatif Ketua Menteri ‘bugarkan’ sejarah di Melaka
TANJUNG BIDARA 3 Julai – Inisiatif Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang berusaha mengangkat sejarah ke satu tahap lebih tinggi mendapat pujian guru-guru di negeri ini.
Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Othman Shawal Noormah Amir Hassan, 55, berkata, inisiatif penganjuran pertandingan berkonsepkan pengkisahan tokoh-tokoh hebat negeri seperti Kembara Sejarah ProBEST@AG 2024 misalnya, berupaya menarik minat murid dan pelajar sekolah untuk lebih mencintai subjek sejarah.
Katanya, pertandingan berkenaan juga dapat membuka mata murid dan pelajar untuk menghayati dan mengagumi tokoh-tokoh terdahulu yang banyak mengubah serta mencorak negara pada masa kini.
“Bagi saya, inilah satu platform terbaik untuk murid-murid mempertingkatkan lagi minat terhadap sejarah dan menjadikan mata pelajaran ini lebih diminati dan mudah difahami,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Nada sama turut disuarakan Guru Sejarah SK Simpang Empat, Kartini Abdul Manan, 39, yang berterima kasih kepada Ketua Menteri kerana mengangkat mata pelajaran berkenaan kepada generasi muda.
Katanya, usaha yang dilakukan itu wajar menjadi contoh kepada negeri-negeri lain supaya anak muda masa kini tidak ‘tenggelam’ dalam arus kemodenan.
“Biasanya pelajar hanya akan betul-betul mengenali sejarah di sekolah menengah, namun usaha Kerajaan Negeri Melaka dapat memastikan mata pelajaran ini didedahkan sejak sekolah rendah lagi.
“Ini merupakan satu usaha yang amat baik untuk murid-murid dalam memupuk semangat patriotisme dan rasa cinta akan negara,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.