
GURU, PELAJAR KURANG BERNASIB BAIK DISANTUNI KONVOI W.R.U.R
KUALA LINGGI 15 Januari – Seramai 30 warga pendidik dan pelajar kurang bernasib baik di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi disantuni Exco Pendidikan Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman bersama Jabatan Pendidikan Negeri Melaka.
Ia diadakan menerusi Konvoi Ziarah Kasih Jabatan Pendidikan Negeri Melaka Bersama Murid dan Guru DUN Kuala Linggi Sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (W.R.U.R), semalam.
Rahmat berkata, konvoi itu bukan sahaja menjelajah ke sekolah-sekolah sekitar DUN Kuala Linggi bagi melihat permasalahan yang perlu diselesaikan, bahkan turut menyampaikan sumbangan kepada guru dan pelajar yang memerlukan.
“Sumbangan yang disampaikan adalah berupa kit makanan dan wang tunai sumbangan Jabatan Pendidikan Negeri dan Zakat Melaka.
“Alhamdulillah, respon yang diterima amat baik di mana kesemua penerima berterima kasih kepada Kerajaan Negeri, selain ada yang sedang sakit terlantar terharu apabila menerima kunjungan sahabat-sahabat dari Jabatan Pendidikan,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas program berkenaan.
Sementara itu, Rahmad berkata, bersempena W.R.U.R DUN Kuala Linggi selama dua minggu, beliau telah menerima sebanyak 31 aduan untuk diselesaikan.
Jelasnya, aduan tersebut membabitkan portfolio pendidikan, pengajian tinggi dan hal ehwal agama yang merangkumi pelbagai perkhidmatan, termasuk sekolah-sekolah, surau, masjid dan universiti di sekitar Kuala Linggi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.