
Guru maut tak sempat ke sekolah
PANTAI KUNDOR 22 Mac – Seorang guru maut selepas terbabit kemalangan di Jalan Kampung Gelam, tidak sampai 500 meter dari sekolah tempatnya mengajar.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, mangsa, Goh Mun Hock, 59, maut di tempat kejadian selepas kereta dipandunya terbabas sendiri di hadapan Klinik Kesihatan Seri Tanjung.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, ketika kejadian mangsa dipercayai sedang menuju ke sekolah tempatnya mengajar iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Tanjung.
Katanya, siasatan awal mendapati, ketika sampai di lokasi, kereta dipandu mangsa telah hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan dan melanggar tembok klinik kesihatan terbabit.
“Akibat rempuhan itu, mangsa maut di tempat kejadian dan telah dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka bagi mengetahui punca kematian.
“POL 61 telah dikeluarkan bagi mengetahui punca kematian dan setakat ini tiada saksi memberi keterangan,” katanya.
Beliau berkata, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1897.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.