Sorting by

×

Guru matematik meninggal dunia disahkan positif COVID-19

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

AYER KEROH 21 Mei – Guru matematik di sebuah sekolah rendah di daerah Melaka Tengah yang meninggal dunia semalam disahkan positif COVID-19 oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka.

Pengarahnya Datuk Dr. Ismail Ali dalam satu kenyataan memaklumkan perkara itu disahkan hasil ujian pengesanan Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) COVID-19 yang dijalankan.

Bagaimanapun, beliau menepis dakwaan mengaitkan kematian berkenaan adalah satu varian baharu apabila guru berkenaan dikatakan tidak mempunyai simptom, sebaliknya perkara itu masih dalam siasatan.

“Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) telah menjalankan ‘survelan genomik’ sampel COVID-19 untuk mengenal pasti dan mengesahkan varian virus COVID-19.

“Ia adalah proses yang kompleks dan mengambil masa dua minggu. Varian virus COVID-19 bagi arwah (guru tersebut) masih dalam siasatan.

“Isu tular berkenaan individu yang dijangkiti varian baharu COVID-19 tidak akan menunjukkan sebarang gejala adalah tidak tepat,” katanya.

Mengulas lanjut, Ismail berkata, hasil siasatan pihaknya mendapati guru wanita terbabit mulai tidak sihat pada 5 Mei lalu dan mendapatkan rawatan dua kali di klinik swasta berhampiran rumah.

Jelasnya, arwah mengalami gejala batuk dan susah bernafas bermula 17 Mei dan pada 19 Mei jam 5 pagi arwah ditemui tidak sedarkan diri dan mengalami kekejangan sebelum dihantar ke Hospital Melaka.

“Arwah diberi bantuan pernafasan dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk rawatan lanjut.

“Begitupun keadaan arwah bertambah tenat dan dia disahkan meninggal dunia pada 19 Mei jam 11.40 malam,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail berkata pihaknya akan sentiasa memaklumkan perkembangan terkini kepada orang ramai dari semasa ke semasa.

Justeru, beliau menyeru masyarakat agar berhenti menyebarkan berita tidak sahih mengenai kematian guru di Melaka dan menghormati ahli keluarga arwah yang sedang berkabung.

Semalam MHI melaporkan kematian guru matematik di sebuah sekolah rendah di daerah Melaka Tengah yang dikaitkan dengan COVID-19 masih dalam siasatan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, buat masa itu masih belum ada pengesahan diterima pihaknya berhubung kematian guru wanita berkenaan.

Beliau bagaimanapun berkata, sekiranya benar ia berkait rapat dengan COVID-19 perkara itu akan diumumkan Kementerian Kesihatan (KKM).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

379
Kongsi :
Previous post Mohd Kamaruddin pangku jawatan pengarah JSJK Bukit Aman
Next post Beberapa kawasan di tiga negeri dikenakan PKPD- Ismail Sabri
Ubah saiz-+=