Guru madrasah tidak mengaku bersalah cederakan pelajar OKU

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

AYER KEROH 27 Ogos – Seorang guru agama di sebuah madrasah di Telok Mas tidak mengaku bersalah mencederakan pelajar lelaki orang kurang upaya (OKU), Ahad lalu.

Tertuduh, Mohamad Haslam Abdul Salam, 32, membuat pengakuan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Nariman Badruddin di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini.

Berdasarkan pertuduhan, Mohamad Haslam didakwa menyebabkan cedera di bahagian belakang badan, kedua-dua tangan dan kaki Muhammad Safwi Razali, 21, menggunakan batang penyapu.

Perbuatan itu dilakukan di premis beralamat Taman Gadong Bahagia, dekat sini, pada jam 7 pagi 22 Ogos lalu.

Atas kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326A yang boleh dikenakan penjara 20 tahun, sebat dan denda jika sabit kesalahan.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, N Sivashangari manakala tertuduh diwakil Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh.

Sivashangari dalam pendakwaannya menawarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan syarat tambahan tidak menganggu mangsa berikutan pelajar terbabit adalah pelajarnya serta saksi lain.

Bagaimanapun, Sheikh Ikhzan memohon jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya mempunyai tanggungan tiga anak.

Nariman kemudian memerintahkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dan dilarang mengganggu mangsa dan saksi lain sebelum menetapkan 27 September sebagai tarikh sebutan untuk serahan dokumen.

Mohamad Haslam dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen selepas tidak mengaku bersalah mencederakan pelajarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

713
Kongsi :
Previous post Razi Batik bangga hasil tangan jadi pilihan delegasi Paralimpik negara
Next post Sembilan pemimpin wanita barisi Kabinet baharu, dua bertukar portfolio
Ubah saiz-+=