Sorting by

×

Guru diminta elak muat naik rakaman sesi pengajaran dalam kelas

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

KAJANG, 25 April – Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengeluarkan suatu makluman atau garis panduan kepada guru yang membuat rakaman sesi pengajaran dalam kelas dan memuat naiknya di media sosial.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata ada antara rakaman itu memberi impak serius kepada anak murid, terutama perbuatan mendedahkan pelajar atau anak murid yang sedang belajar.

“Jadi perkara ini kami sedang perincikan, apakah pendekatan paling sesuai dan kami juga telah maklumkan kepada guru untuk mengelak daripada melakukan perbuatan sedemikian kerana kesannya amat besar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis pelancaran Generational End Game Anti Rokok 18 (GEGAR-18) di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Seri Putra di sini hari ini. Turut hadir ialah Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Sementara itu berhubung dakwaan peningkatan kadar guru bersara awal, Radzi berkata pihaknya tidak mengesan sebarang perubahan ketara berhubung jumlah guru bersara sejak enam tahun lepas.

​​​​​“Data kami menunjukkan tidak banyak perbezaan antara kadar trend itu pada 2017 sehingga tahun ini, cuma kami sedang perincikan lagi punca-punca guru bersara awal dan akan memberikan penjelasan lebih mendalam pada waktu terdekat,” jelasnya.

Sebelum ini Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berkata laporan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) menganggarkan lebih 10,000 guru membuat pilihan bersara awal setiap tahun kebelakangan ini, jauh melebihi statistik KPM, dan perkara itu disifatkan membimbangkan. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1040
Kongsi :
Previous post Op Hari Raya: Cuti pegawai, anggota penguat kuasa JPJ dibeku
Next post Kawasan R&R dibuka 24 jam setiap hari sepanjang musim perayaan
Ubah saiz-+=