Guru besar didakwa kemuka tuntutan palsu
Lee Wai Teng, 58, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain.
Dia didakwa mengemukakan dokumen Set Tuntutan Bayaran Pembekalan Makanan untuk Program Klinik Sukan Prasekolah bertarikh 21 Nov 2017, namun pembekalan makanan itu tidak dilakukan.
Lee dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah sekolah di Raub, pada 6 Dis 2017 mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa SPRM Kamariah Seman mencadangkan jaminan RM10,000, bagaimanapun peguam Chuah Shyue Chien yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan itu dikurangkan atas alasan tertuduh tidak berisiko untuk melarikan diri.
“Tertuduh masih bergelar penjawat awam dan telah memberikan kerjasama sejak siasatan bermula pada tahun lepas. Tertuduh mempunyai dua anak dan menjaga ibunya yang uzur,” kata peguam.
Mahkamah membenarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin, serta syarat tambahan tertuduh melaporkan diri ke pejabat SPRM setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai dan sebutan semula kes ditetapkan 15 Sept.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.