
GURU BAHASA INGGERIS DITAHAN, BANTU SIASATAN KES PUKUL, TARIK RAMBUT MURID
AYER KEROH 20 Mac – Seorang guru lelaki ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung dakwaan memukul dan menarik rambut seorang murid perempuan dalam kejadian di sebuah sekolah di daerah Alor Gajah, minggu lalu.
Menurut sumber, terdahulu ibu mangsa mengesyaki ada perkara yang tidak kena selepas kanak-kanak berusia 10 tahun itu memaklumkan dia takut untuk ke sekolah pada pagi Jumaat lalu.
“Mangsa memaklumkan dia takut untuk ke sekolah kerana mendakwa guru Bahasa Inggeris telah memukul dan menarik rambut tepi telinganya. Susulan itu, ibu mangsa kemudian membuat laporan polis dan kanak-kanak berkenaan kemudian dirujuk ke bahagian Psikiatrik Hospital Melaka.
“Kanak-kanak itu dirujuk ke Hospital Melaka untuk rawatan susulan memandangkan emosi mangsa yang semakin tidak dapat dikawal. Hasil laporan pemeriksaan oleh pegawai perubatan keadaan itu disebabkan’alleged physical abuse by known person'” katanya.
Katanya, siasatan lanjut berhubung kejadian masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian selain insiden dikatakan berlaku dalam kelas.
“Susulan itu guru lelaki terbabit yang berusia 44 tahun ditahan kira-kira jam 4 petang semalam, ketika hadir ke Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) untuk diambil keterangan.
“Permohonan reman ke atas guru berkenaan dibuat hari ini ia bagi membolehkan polis mendapat fakta sebenar kejadian selain mangsa masih dalam keadaan trauma serta gagal memberikan kerjasama,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian dan tangkapan keatas guru berkenaan selain kes akan disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.