Sorting by

×

Gunung Semeru di Jawa Timur, Indonesia meletus, status ‘waspada’

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

JAKARTA 17 Jan.- Gunung Semeru di Jawa Timur, Indonesia yang meletus semalam dengan mengeluarkan asap setinggi 4.5km diletakkan pada status dalam level II (dua) atau waspada.

Ketua Pusat Data, Maklumat dan Komunikasi Bencana, Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia, Dr. Raditya Jati berkata, penetapan status gunung berapi tertinggi di Pulau Jawa itu adalah berdasarkan hasil pemantauan visual dan instrumental, serta potensi ancaman bahayanya.

Katanya, sehingga kini Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG) terus melakukan pemantauan rapi terhadap gunung berapi itu.

“Berdasarkan hasil pemantauan visual dan instrumental, serta potensi ancaman bahayanya, maka tingkat aktiviti Gunung Semeru masih ditetapkan pada Level II atau waspada.

“Letusan asap semalam direkodkan dengan amplitud maksimum 22 milimeter dan jangka masa 4,287 saat.

“Sehubungan itu PVMBG juga memastikan potensi ancaman letusan Gunung Semeru dalam bentuk batuan panas di sekitar puncak, sementara bahan pelepasan abu dapat tersebar lebih jauh bergantung pada arah dan kecepatan angin,” katanya dalam kenyataan disiarkan di laman web rasmi BNPB, semalam.

Menurutnya, dalam status waspada itu penduduk atau pelawat dinasihati tidak melakukan sebarang aktiviti dalam radius 1km dari puncak Gunung Semeru dan jarak 4km arah bukaan kawah di sektor selatan-tenggara.

“Masyarakat juga diminta selalu berwaspada dengan letusan asap dan lahar di sepanjang aliran sungai atau lembah yang mengalir dari puncak Gunung Semeru.

“PVMBG juga sedang melakukan evaluasi lebih lanjut berhubung letusan itu bagi mengesan jika terjadi gejala perubahan ancaman bahaya,” katanya.

Sementara itu, BERNAMA melaporkan susulan letusan Gunung Semeru penduduk di sekitar Desa Sumber Mujur, Desa Curah Koboan dan kawasan sekitarnya diarahkan sentiasa berjaga-jaga dan menjauhi kawasan gunung berkenaan.

“Berdasarkan data PVMBG terdapat lebih 70 gunung berapi yang masih aktif di Indonesia manakala tujuh gunung berapi di Indonesia ketika ini sedang aktif meletus.

“Gunung berapi yang sedang aktif meletus sejak dua tahun lalu ialah Gunung Anak Krakatau di Selat Sunda, Gunung Merapi (di Jawa Tengah), Gunung Kelud (Jawa Timur), Gunung Sinabung (Sumatera Utara), Gunung Bromo (Jawa Timur), Gunung Soputan dan Gunung Lokon (di Sulawesi Utara),” katanya.

Views:

532
Kongsi :
Previous post ‘Sireh pulang ke gagang’
Next post 90 kompaun, 4 hari PKP 2.0
Ubah saiz-+=