Sorting by

×

Gunung Melaka jadi tumpuan, penduduk dapat tempias rezeki

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

ASAHAN 14 Februari – Keunikan Gunung Melaka yang kini semakin menjadi perhatian dalam kalangan pendaki sama ada dalam dan luar negara secara tidak langsung memberi limpahan rezeki buat penduduk setempat.

Sebelum diwartakan sebagai gunung, Gunung Melaka ini dikenali sebagai Bukit Gapis dan hanya diketahui dalam kalangan penduduk Nyalas.

Namun dengan ketinggiannya hampir 500 meter itu dan mempunyai keunikan tersendiri serta pemandangan indah di puncak selain dapat melihat Banjaran Gunung Datuk dan Bandaraya Melaka membuatkan Gunung Melaka mendapat tempat dalam kalangan kaki ‘hiking’.

Bagi penduduk Rosifah Bazid, 61, berkata, kemeriahan Gunung Melaka yang kini tidak henti dikunjungi pengunjung membuatkannya bukan sahaja gembira malah bangga menjadi penduduk Nyalas.

“Sudah pasti sebagai penduduk dan tinggal bersebelahan dengan Gunung Melaka saya bangga kerana kampung saya ini menjadi tumpuan dan dikenali ramai.

“Mungkin dulu bila disebut Bukit Gapis orang tidak berapa tahu tetapi apabila ia mula menjadi lokasi pendakian dan kemudiannya diwarta sebagai Gunung Melaka, ia mula menjadi sebutan ramai,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini di kediamannya.

Photo1707813175
ROSIFAH

Menurut Rosifah lagi, dengan kedatangan pengunjung sama ada secara perseorangan mahupun berkumpulan ia secara tidak langsung dapat membantu ekonomi penduduk setempat.

“Apabila pengunjung ini datang ke sini sudah pasti ada yang singgah berbelanja di sekitar Nyalas seperti makan dan minum malah ada juga yang menginap di ‘homestay’ jadi ini dapat merancakkan lagi pendapatan penduduk.

“Saya sendiri pula turut menyediakan makanan untuk pendaki ini apabila mereka turun jadi ini turut membuka peluang rezeki.

“Kita juga dapat tonjolkan lagi makanan dan cara hidup kampung, seperti saya apabila menyediakan makanan untuk kumpulkan pendaki ini saya akan hidangkan lauk kampung jadi mereka dari luar dapat merasai suasana itu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

8749
Kongsi :
Previous post Warga emas maut, lima cedera kereta bertembung di Tampin
Next post Aktiviti kepulauan di Melaka bertambah rancak
Ubah saiz-+=