Sorting by

×

Gunakan puisi nasihat golongan muda jauhi rasuah – Ras Adiba

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

SHAH ALAM, 30 Jan – Mesej atau nasihat khususnya dalam mendidik golongan muda menjauhi amalan rasuah boleh dilakukan menerusi puisi yang dilihat lembut namun menepati dengan apa yang ingin disampaikan.

Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Senator Datuk Ras Adiba Radzi berkata selain penyampaian puisi dalam pelbagai gaya dan bentuk, ia juga dapat menarik perhatian khususnya anak muda dalam memahami sesuatu isu yang berlaku.

“Kita kadang lupa, mesej penyampaian antirasuah ini boleh disampaikan melalui sastera. Ia boleh disampaikan melalui lagu, gurindam dan seloka yang mampu menarik perhatian anak muda kita,” katanya kepada pemberita selepas program Baca Puisi Anti Rasuah Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (Pemuisi)@Karangkraf di sini hari ini.

Ras Adiba berkata program deklamasi puisi itu juga boleh dijadikan satu platform untuk memberi nasihat dan dilaksanakan tepat pada waktunya.

“Program hari ini (platform) untuk memberi nasihat. (Cara nasihat menggunakan puisi) sangat lembut dan halus namun terus kepada perkara yang hendak disampaikan. Mungkin kalau kita terus (menegur), orang tidak mahu dengar,” katanya yang mendeklamasikan puisi lagu bertajuk ‘Fatwa Pujangga’ pada program tersebut.

Beliau berkata program anjuran Pemuisi dengan kerjasama Karangkraf itu akan turut dilaksanakan oleh Bernama khusus bagi menarik minat kepada puisi syair di samping dapat memberikan unsur-unsur nasihat.

Terdahulu, Presiden Pemuisi Datuk Dr Radzuan Ibrahim dalam ucapannya berkata program hari ini merupakan satu daripada usaha persatuan itu menolak amalan rasuah.

“Pemuisi akan menyokong segala kempen memerangi rasuah dengan cara pemuisi. Sesuai dengan visi pemuisi ‘Suara Kemanusiaan Sejagat’. Pemuisi akan memerangi rasuah dengan bait-bait puisi menyedarkan masyarakat bahawa rasuah itu adalah perosak negara, hina dan harus dibasmikan.

“Pada hari ini beberapa orang pemuisi mempersembahkan bacaan puisi, syair, lagu puisi yang bertemakan rasuah. Semoga penonton di sini dan pelayar media sosial dapat menghayati bait-bait indah puisi yang sangat bermakna dan memikirkan tafsiran sebenar di sebaliknya,” katanya.

Beliau turut berharap program berkenaan sedikit sebanyak dapat memberi pendedahan mengenai kepelbagaian puisi, sesuai dengan hasrat persatuan itu untuk memasyarakatkan karya sastera tersebut.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4496
Kongsi :
Previous post Permit institut memandu boleh dibatalkan jika ramai pemegang lesen terlibat kemalangan – JPJ
Next post Ratusan rumah penduduk rosak akibat angin ribut, puting beliung di Ipoh
Ubah saiz-+=