Guna wang palsu beli kucing Parsi, suami isteri dihadapkan ke mahkamah

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

ALOR GAJAH 23 Dis – Sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Gajah, di sini, hari ini, atas pertuduhan membeli dua ekor kucing Parsi menggunakan wang palsu, dua minggu lalu.

Tertuduh, Mohammad Norkieflee Abdul Raheem, 22, dan isteri, Nurul Farah Syafiqah Abdul Aziz, 24, mengaku bersalah sejurus pertuduhan terhadap mereka dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Afizi Othman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa bersama-sama menggunakan wang palsu sebanyak 53 keping bernilai RM2,500 bagi membeli dua ekor kucing Parsi.

Perbuatan itu dilakukan kedua-dua tertuduh di tepi jalan berhampiran Plaza Tol Ayer Keroh, kira-kira jam 2.25 pagi pada 11 Disember lalu.

Oleh itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 489B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam kemudian merayu agar hukuman ringan dikenakan ke atas mereka disebabkan mendakwa tidak mengetahui wang berkenaan adalah palsu.

Selepas mendengar rayuan tersebut, mahkamah kemudian menolak pengakuan bersalah yang dibuat pasangan itu kerana ia menjadi pengakuan bersyarat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Puteri Nur Nadia Mohamed Iqbal, mencadangkan kepada mahkamah jaminan sebanyak RM20,00 dikenakan terhadap setiap tertuduh.

Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 setiap seorang selain menetapkan tarikh 28 Januari depan tarikh sebutan semula kes.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

868
Kongsi :
Previous post Warga emas di Melaka masih kurang ambil dos penggalak
Next post Graduan jangan pilih kerja, kejar pengalaman
Ubah saiz-+=