Sorting by

×

Guna lori tangki berdaftar seleweng diesel bersubsidi

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

PAYA RUMPUT 5 April – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka merampas lebih 60,000 liter diesel yang cuba diseleweng dalam serbuan di sebuah stor, di Taman Perindustrian Krubong, di sini, awal pagi tadi.

Serbuan kira-kira jam 5.30 pagi itu dilakukan hasil daripada risikan dijalankan pasukan polis menerusi Op Tiris.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri Norena Jaafar berkata, ketika serbuan dijalankan terdapat dua lelaki di stor terbabit yang bertindak sebagai penjaga premis dan pemandu lori berusia antara 41 dan 46 tahun.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut dijalankan mendapati di dalam gudang terdapat sebuah lori tangki yang penuh dengan muatan diesel.

“Selain itu terdapat juga beberapa tangki dan alatan pam yang disyaki digunakan untuk menjalankan operasi haram penyelewengan barangan kawalan.

“Pemeriksaan lanjut kemudian mendapati kesemua diesel itu berkapasiti 60,400 liter yang dianggarkan bernilai kira-kira RM129,860.

“Selain itu kesemua rampasan termasuk lori tangki yang dibuat kita anggarkan berjumlah kira-kira RM300,000 termasuk dengan nilai diesel,” katanya.

Menurut beliau, dengan menggunakan modus operandi lori yang diubah suai akan ke stesen minyak untuk membeli diesel sebelum memindahkan ke tangki di stor terbabit.

“Selain itu kita percaya juga mereka cuba berselindung dengan menggunakan lori tangki berdaftar.

“Kegiatan ini dipercayai sudah beroperasi sejak sebulan lalu selain kita percaya lori tangki terbabit berada dalam keadaan sedia untuk digerakkan ke pasaran gelap.

“Selain untuk pasaran di Melaka kita percaya bekalan diesel ini juga dihantar ke negeri lain berdasarkan permintaan,” katanya.

Norena berkata, pihaknya akan memastikan aktiviti penyelewengan diesel di Melaka akan dibanteras sepenuhnya meskipun merekodkan kekerapan kes.

“Tidak dinafikan agak kerap berlaku namun begitu kita akan pastikan kegiatan ini tidak berlaku lagi selain kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1091
Kongsi :
Previous post Bubur lambuk istimewa Surau Ubudiah
Next post Agong dan Raja Permaisuri lawat Bazar Peringgit
Ubah saiz-+=